Berita

Asah bakat murid ceburi sukan bola keranjang

SEKITAR Majlis Penyampaian Sumbangan yang diadakan baru-baru ini
- Diterbit 26 April 2024 11:00 AM MYT

BAGI mengembangkan lagi pembangunan sukan bola keranjang di peringkat sekolah rendah di sekitar Kuala Lumpur, Persatuan Bola Keranjang Kuala Lumpur (KLBA) menyampaikan sumbangan bola keranjang kepada 45 buah sekolah rendah terpilih.

Inisiatif sumbangan tersebut diadakan dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Bola Keranjang oleh Persatuan Bola Keranjang Kuala Lumpur (KLBA) yang bertempat di Auditorium, Menara Seri Wilayah, Putrajaya.

Rata-rata guru yang hadir mewakili pihak sekolah teruja dengan sumbangan tersebut dan berharap agar sukan bola keranjang diberi pendedahan yang lebih khusus kepada murid sekolah rendah.

Menurut guru pengiring Persatuan Bola Keranjang Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Tembak 1, Nor Amelia Mustafah, ia merupakan sumbangan pertama yang diterima pihaknya memandangkan sukan tersebut baru sahaja diperkenalkan di sekolahnya.

“Ia merupakan tahun pertama kita perkenalkan sukan bola keranjang ini kepada murid-murid SK Padang Tembak 1 kerana lazimnya sukan ini lebih popular di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina sahaja.

“Jadi untuk permulaan, sekiranya kita berjaya dapatkan peralatan dan kemudahan selengkapnya mungkin sukan ini boleh dikekalkan untuk tahun-tahun akan datang,” katanya ketika ditemui selepas majlis.

Dalam masa sama, dia turut berterima kasih kepada KLBA yang sudi menyampaikan sumbangan.

“Kami menerima 10 biji bola keranjang yang baharu, semoga dengan inisiatif ini pembangunan sukan bola keranjang dapat pergi lebih jauh.

“Untuk permulaan kita hanya fokus kepada murid-murid perempuan sahaja dan diharapkan dengan sumbangan yang diterima dapat mengasah bakat mereka lagi,” katanya.

Sekolah yang terlibat adalah dari daerah Pudu, Bangsar, Sentul dan Keramat. Usaha ini turut disokong pihak Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP).

Turut hadir Pengarah MSWP, Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Zainudin Mohamad. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas