Artikel

Vibes positif kini mula melanda negara kita

- Diterbit 26 April 2024 9:15 AM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

BURSA Malaysia pada Selasa 23 April lepas mencecah paras tertinggi sejak hampir setahun lalu. Ia mencecah 1,567.57 mata menjelang 11 pagi, sebelum ditutup di paras 1,561.72 mata.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, paras 1,567.57 adalah paras tertinggi sejak pentadbiran ini menerajui pengurusan negara.

Kata beliau, walaupun sentimen negatif terus dimainkan pembangkang yang seolah-olah mengharapkan kerosakan ekonomi negara demi kuasa yang mereka kejar, sentimen itu tidak sama dengan keadaan yang berlaku di pasaran.

Bursa Malaysia telah menunjukkan peningkatan secara konsisten sejak 12 bulan lepas untuk mencecah paras tertinggi pada paras 1,567.57 mata pagi tadi.

Itu hal ekonomi Malaysia secara umum. Banyak pihak melihat kedudukan bursa saham adalah lambang suasana ekonomi sesebuah negara.

Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November 2022 lepas, rakyat negara ini berhadapan dengan pelbagai kekurangan.

Telur tidak ada, harga ayam, minyak masak dan lain-lain barang keperluan asas sangat tinggi di pasaran. Namun selepas beberapa bulan, perkara ini berjaya diselesaikan satu persatu.

Isu telur selesai selepas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melaksanakan strategi mengimport telur dari India pada Desember tahun 2022, sebulan selepas pemimpin Kerajaan Madani ini mula bertugas.

Selepas itu, tiba-tiba saja telur ada dan memenuhi rak-rak barangan dari kedai runcit sehinggalah pasaraya di seluruh negara.

Selepas telur, isu ayam pula dikendalikan. Mulai Jun 2023, harga ayam diapungkan oleh kerajaan. Tidak ada lagi sekatan harga.

Sejak isu, harga ayam bukannya naik bahkan turun dan berlambak di pasaran.

Sepanjang bulan Ramadan hinggalah Aidilfitri tahun ini tidak ada sebarang sungutan tentang ketiadaan bahan asas untuk membuat juadah berbuka atau hari raya.

Perkara yang belum selesai lagi adalah beras tempatan. Kerajaan memang berada dalam dilema antara mengekalkan harganya RM2.60 sekilo atau mengapungkan harga beras tempatan di pasaran.

Jika harganya diapungkan sudah pasti beras tempatan akan memenuhi pasaran balik berlawan dengan beras import yang kini sedang meningkat harganya ekoran cuaca dunia yang tidak menentu.

Namun di satu sudut yang lain, usaha memperbanyakkan pengeluaran beras tempatan sedang giat dijalankan. Projek SMAERT SBB ala Sekinchan sedang giat dijalankan untuk meningkat jumlah pengeluaran padi negara ketika perebutan tanah sawah dengan pembangunan sedang hangat berjalan.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, program SMART SBB ala Sekinchan adalah model baharu yang diperkenalkan Mei tahun lalu.

Ia mengaplikasi amalan terbaik penanaman padi di Sekinchan untuk diaplikasi ke kawasan lain.

“Menerusi program SMART SBB ala Sekinchan, ia boleh meningkatkan hasil padi sebanyak 70 peratus berbanding kaedah biasa,” katanya.

Insya-Allah selepas projek ini berjaya, isu beras tempatan di pasaran akan selesai.

Di mata dunia pula, Malaysia kini mendapat perhatian utama. Ketegasan dan kesungguhan PM untuk membantu Palestin dan rakyat Malaysia yang terperangkap di sana disanjung dunia.

Ucapan Anwar di Berlin bersama Canselor Jerman mendapat sorotan dunia.

Kini, rakyat Malaysia pula bercakap tentang ‘Misi Gila’ PM Anwar untuk menyelamatkan satu keluarga rakyat negara ini yang terperangkap dalam kancah perang di Gaza.

Misi Gila ini diceritakan sendiri oleh individu yang terputus hubungannya dengan isteri dan anak-anak beliau yang terperangkap di celah-celah bedilan roket, kereta kebal dan bom di Gaza.

“Watak utama dalam Misi Gila ini adalah Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri!”

Demikian luahan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang menzahirkan rasa syukur di atas kepulangan keluarga dari Palestin ke pangkuannya.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, kisah bermula apabila beliau bersama sahabat iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby berpeluang untuk menemui Anwar pada satu majlis di Shah Alam.

Menurut Muhammad Nadir, pada kesempatan itu, beliau sempat memberitahu kepada Anwar bahawa keluarganya terkandas di Rafah.

Beliau tidak berharap banyak. Namun menjelang 1 Syawal baru-baru ini, beliau dibawa untuk berjumpa dengan isteri dan anak-anaknya yang sudah selamat di bawa pulang ke tanah air.

Apa yang saya tulis ini adalah catatan seorang wartawan tentang apa yang berlaku di negara yang bernama Malaysia. Semua catatan ini memberi kita positive vibes atau tenaga positif bahawa kita berada di landasan yang betul dalam membina negara kita.

Sebagaimana kata Menteri Ekonomi, Rafzi Ramli, tanggungjawab membaiki ekonomi negara memerlukan perspektif jangka panjang.

“Namun, peningkatan yang berlaku (tanpa kita sedar) seperti hari ini memberi pengesahan bahawa ekonomi kita akan terus menguat,” tulis beliau dan kita yang kini mula merasai vibes positif itu.

Catatan ini dibuat hanya sekadar mahu memberikan pandangan sahaja dari seorang wartawan.

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas