Berita

Malaysia sedia teroka kerjasama baharu

- Diterbit 30 April 2024 2:08 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kesediaan Malaysia untuk bersama-sama dalam Visi 2030 Arab Saudi dengan meneroka ruang kerjasama baharu, terutama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen.

Perkara tersebut dinyatakan beliau semasa kunjungan ke Istana Yamamah di Riyadh, Arab Suadi ketika bertemu dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman sebelum berangkat pulang ke tanah air, selepas menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF).

Sementara itu, Anwar menjelaskan beliau mengalu-alukan kehadiran pelabur-pelabur dari Arab Saudi ke Malaysia untuk meneroka potensi pelaburan.

“Perbincangan kami turut menyentuh hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.

“Saya juga mengalu-alukan kehadiran pelabur-pelabur dari Arab Saudi ke Malaysia untuk meneroka potensi pelaburan dalam projek bernilai tinggi seperti ekonomi digital dan hijau, kecerdasan buatan (AI), tenaga bersih, pertahanan, elektrik dan elektronik serta aeroangkasa,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata, beliau percaya lawatan tersebut memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara selain membuka potensi pelaburan.

“Saya percaya lawatan kali ini telah memperkukuhkan lagi hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Selain itu, di samping membuka pelbagai potensi pelaburan yang bakal menyumbang kepada kemakmuran rakyat Malaysia keseluruhannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan seluruh negara Arab dan negara-negara Islam perlu bersatu dalam menuntut keadilan buat rakyat Palestin.

“Saya lontarkan pandangan betapa seluruh negara Arab dan negara-negara Islam, khususnya Arab Saudi perlu senada dan tegas dalam menuntut keadilan buat rakyat Palestin dengan memastikan Israel diheret ke muka pengadilan atas segala jenayah dan kezaliman di luar batas kemanusiaan yang dilakukan terhadap Palestin sejak puluhan tahun.

“Di samping terus memperjuangkan hak perlindungan dan akses bantuan kemanusiaan, semua pihak juga perlu menyuarakan bantahan terhadap pencerobohan dan pendudukan haram Israel di tanah Palestin, yang menjadi punca utama konflik ini berpanjangan,” tegasnya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas