Berita

KPM laksana pelbagai inisiatif bagi reformasi pendidikan

- Diterbit 30 April 2024 12:22 PM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi mereformasikan pendidikan negara.

KPM dalam satu keny7ataan berkata ia termasuk pengstrukturan semula sistem prasekolah, Kurikulum Persekolahan 2027 dan intervensi kurikulum bagi menangani keciciran pembelajaran.

Tambahnya lagi, mengambil perhatian Laporan Bank Dunia bertajuk Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills berkenaan sistem pendidikan negara.

“Perkara utama yang disentuh dalam laporan Bank Dunia seperti kualiti dan akses pendidikan prasekolah, kecekapan murid serta pembangunan profesionalisme guru sememangnya berada dalam perhatian KPM.

“KPM kini sedang melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi mereformasikan pendidikan negara,” katanya hari ini.

Jelas KPM, kelas prasekolah akan diperluaskan di seluruh institusi pendidikan KPM bagi memastikan isu keciciran murid dapat ditangani dari peringkat awal.

Sementara itu, KPM turut menyatakan tumpuan turut diberi kepada pembangunan profesionalisme guru.

“Pelbagai program ditawarkan untuk meningkatkan kompetensi dan profesionalisme guru dalam perkhidmatan.

“Terkini, KPM memperkenalkan platform Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP) bagi memenuhi keperluan kompetensi digital guru,” ujarnya.

KPM menegaskan pihak kementerian komited memastikan hasrat untuk mereformasikan pendidikan negara berjaya.

“Ia adalah usaha berterusan yang memerlukan komitmen, kerjasama dan sokongan semua pihak,” katanya.

Semalam, media melaporkan, laporan baharu Bank Dunia bertajuk “Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills” memberi gambaran membimbangkan tentang sistem pendidikan Malaysia.

Walaupun perbelanjaan yang besar diperuntukkan dalam pendidikan iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negar Kasar (KDNK), pembelajaran pelajar masih ketinggalan berbanding jangkaan.

Hanya 58 peratus pelajar di Malaysia didapati mahir membaca menjelang akhir Darjah 5, jauh lebih teruk daripada rakan serantau (34 peratus berjuang dalam ekonomi yang serupa).

Laporan itu menekankan ketidakcekapan yang membimbangkan dengan pelajar Malaysia menghabiskan purata 12.5 tahun di sekolah tetapi pembelajaran bersamaan dengan hanya 8.9 tahun.

Laporan itu mengenal pasti beberapa punca antaranya akses terhad kepada pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti, kesediaan guru, dan kekurangan sistem penjejakan prestasi yang mantap.- WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas