Berita

Putrajaya, Kuala Lumpur bawah zon merah

PETUGAS menyembur cecair nyah kuman di kawasan Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto NAZIRUL ROSELAN PETUGAS menyembur cecair nyah kuman di kawasan rumah penduduk dalam Operasi Sanitasi Awam di Kampung Baru pagi tadi. (31 Mac 2020)
- Diterbit 7 April 2020 5:39 AM MYT

PUTRAJAYA – Putrajaya menjadi kawasan terbaru di Wilayah Persekutuan dilaporkan diletakkan dalam zon merah jangkitan Covid-19 semalam.

Berdasarkan info grafik yang disiarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan melalui Twitternya, Putrajaya telah mencatatkan 41 kes setakat pukul 12 tengah hari semalam.

Info grafik itu turut menunjukkan seluruh kawasan Kuala Lumpur telah diletakkan di bawah zon merah.

Cheras turut menjadi zon merah apabila mencatatkan 45 kes.

Pantai Dalam kekal menduduki kawasan teratas zon merah apabila mencatatkan 386 kes diikuti Titiwangsa (93) dan Kepong (116).

Labuan pula mencatatkan 12 kes.

Kuala Lumpur kekal menduduki kedua tertinggi iaitu 640 kes selepas Selangor yang mencatat negeri tertinggi jangkitan Covid-19 iaitu 970 kes.

Semalam terdapat pertambahan zon merah menjadi 21 di seluruh negara.

Dua lagi zon merah yang baharu ialah Jasin, Melaka dan Rembau, Negeri Sembilan.

“Duduk di rumah, penjarakan sosial dan tingkatkan penjagaan kesihatan diri,” kata CPCR Kebangsaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas