Berita

Selangor Mansion diletak bawah PKPD keempat

SELURUH penghuni dan peniaga di Selangor Mansion, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dikenakan PKPD berkuat kuasa hari ini.
- Diterbit 7 April 2020 6:51 AM MYT

PUTRAJAYA – Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur di sini menjadi kawasan baharu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan itu susulan terdapat 15 kes positif Covid-19 di dua bangunan tersebut.

“PKPD itu akan melibatkan penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan.

“Perintah ini berkuat kuasa hari ini sehingga proses pengesanan kes dari unit ke unit selesai,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

ANGGOTA tentera mengawal kawasan Selangor Mansion di Jalan Masjid India yang dipasang kawad besi.

Berdasarkan rekod, PKPD sebelum ini dilaksanakan di Simpang Renggam, Johor; Sungai Lui, Hulu Langat dan Menara One City, Kuala Lumpur.

Justeru beliau memberitahu, saringan kesihatan adalah wajib kepada kesemua penghuni yang terlibat.

Ismail Sabri menjelaskan, prosedur operasi standard (SOP) mengkehendaki semua penghuni unit tempat tinggal di kawasan tersebut dilarang keluar dan orang luar tidak dibenarkan memasuki bangunan tersebut.

“Sehubungan itu, saya berharap supaya penghuni di kawasan tersebut mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), RELA dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) akan mengawasi kawasan tersebut bagi memastikan keberkesanan PKPD. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas