Berita

Kes dadah di Labuan meningkat 25 peratus

PDRM's logo (photo for archive ) AZHAR MAHFOF/The Star
- Diterbit 22 April 2024 2:09 PM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Labuan mencatat peningkatan 25 peratus kes jenayah melibatkan dadah bermula Januari hingga April 2024 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata pihaknya berjaya menumpaskan kegiatan itu dengan penangkapan 155 individu atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan merampas dadah serta aset dengan nilai keseluruhan lebih RM71,000.

Daripada jumlah tersebut katanya, empat suspek disiasat di bawah Seksyen 39B yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan kerana mengedar dadah.

“Manakala, 11 individu telah ditahan di bawah Seksyen 39A(1) sebagai kes pembekal yang memperuntukkan dua hingga lima tahun penjara dan hukuman sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Hamizi memaklumkan statistik jenayah indeks mencatatkan penurunan iaitu sebanyak 16.7 peratus.

Katanya, bagi tempoh sama pihaknya menerima sebanyak 3,873 laporan membabitkan sebanyak 92 kes jenayah harta benda dan jenayah kekerasan.

“Antara penyumbang utama kepada penurunan kes jenayah indeks adalah hasil daripada pelbagai operasi yang dilaksanakan dengan memberikan tumpuan kepada kes-kes jenayah curi, pecah rumah dan mendatangkan kecederaan.

“Penurunan ini juga didorong oleh kejayaan tangkapan kurang dari tempoh 24 jam dan operasi pencegahan jenayah yang berterusan oleh pasukan,” katanya.

Tambahnya, kadar pertuduhan bagi kes jenayah indeks di pulau ini telah mencatatkan peningkatan 66.9 peratus berbanding 35.2 peratus pada tempoh yang sama tahun lepas. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas