Selebriti

Rindu tradisi buka pintu

- Diterbit 22 April 2024 4:00 PM MYT

KATA orang, rindu yang paling menyakitkan adalah rindu kepada orang yang telah tiada. Apatah lagi, mereka adalah ibu bapa kita.

Itulah yang dirasakan oleh pelakon Faizal Hussein, 57, setiap kali tibanya hari raya. Baginya, kenangan terindah adalah memori bersama ibu dan bapanya,  Allahyarham Mahyon Ismail dan Allahyarham Hussein Abu Hassan.

“Selepas pemergian ayah pada 2007, disusuli emak sekitar 2011, hilanglah tradisi buka pintu kediaman kami pada musim lebaran. Saya rindukan saat begitu,” luahnya.

Menurut Faizal, rumahnya sentiasa dipenuhi tetamu memandangkan ibu dan bapanya merupakan selebriti popular pada era mereka.

“Raya masa zaman kanak-kanak sehingga menginjak remaja dikelilingi peminat ibu bapa saya. Seawal selesai solat sunat Aidilfitri lagi sudah ada yang datang memberi salam sehinggalah ke tengah malam menjadikan rumah kami paling sesak di kejiranan Gombak,” katanya.

Bagi bintang filem Gila-Gila Remaja dan Kanta Serigala itu, peluang beraya bersama keluarga sebelah isterinya, Suhaila Sulaiman di Johor, sedikit sebanyak mengubati kerinduan tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas