Berita

Peluang badang Malaysia tertutup rapat

IWF gantung PABM dari menyertai sebarang kejohanan dan program anjurannya.
- Diterbit 7 April 2020 3:11 AM MYT

KUALA LUMPUR – Aksi Sukan Olimpik Tokyo yang diidamkan atlet angkat berat negara kini ‘tertutup rapat’ apabila Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) tidak membenarkan wakil Malaysia mengambil bahagian di temasya sukan berkenaan atas alasan doping.

 

IWF menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman web rasminya memaklumkan, selain atlet Malaysia, atlet angkat berat Thailand juga turut menerima nasib yang sama memandangkan kedua-dua negara mencatatkan jumlah kes doping yang banyak.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat dalam satu kenyataan memaklumkan, PABM akan mengkaji sama ada akan membuat rayuan atau tidak berdasarkan implikasi terhadap keputusan, kewangan dan masa persatuan berkenaan.

“Keputusan IWF adalah tertakluk kepada kejohanan dan aktiviti IWF di peringkat antarabangsa. Berdasarkan keputusan IWF, kejohanan dalaman, kebangsaan dan Sukan Malaysia (Sukma) 2020 adalah berjalan seperti dirancang,” katanya.

IWF menetapkan bahawa PABM digantung daripada menyertai sebarang aktiviti IWF selama setahun bermula 1 April ini sehingga 1 April 2021, selain semua atlet angkat berat Malaysia tidak dibenarkan untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan sebarang kejohanan atau program anjuran IWF selama lima bulan.

Sebelum ini, PABM didenda sebanyak AS$25,600 (RM111,552) pada tahun lalu berkaitan isu doping empat atlet negara, namun Malaysia telah menjelaskan denda tersebut pada September 2019.

Sebagai rekod, badang negara Mohd. Hafifi Mansor merupakan satu-satunya wakil tunggal negara dalam acara angkat berat pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas