Agama

Purdah? Tepuk dada tanya iman

Gambar hiasan.
- Diterbit 27 Oktober 2020 1:12 PM MYT

SEJAK akhir-akhir ini kita dapat lihat ramai selebriti mula mengenakan niqab atau dikenali juga sebagai purdah. Tidak dinafikan, ia merupakan permulaan yang baik untuk menjaga seseorang wanita daripada fitnah duniawi namun tidak terkecuali ramai juga yang mula keliru sejauh mana kepentingan pemakaiannya adakah wajib, fesyen atau keperluan.

Merungkai persoalan tersebut, personaliti agama popular, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman berkata, persoalan memakai purdah bagi wanita adalah satu perbezaan pendapat (khilaf).

“Ada dalam kalangan ulama yang mewajibkannya dengan menganggap wajah wanita adalah aurat. Namun jumhur fuqaha (majoriti ulama fiqh) pula menganggap wajah wanita bukannya aurat.

“Sesungguhnya aurat wanita yang merdeka itu ialah seluruh badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan. Inilah pendapat al-imam al-Syafi`i, al-imam Malik, al-imam Abu Hanifah, al-Imam al-`Auza`i, al-imam Abu Thaur dan lain-lain,” ujarnya.

Tegasnya lagi, pendapat yang menyatakan wanita yang berwajah cantik wajib menutup muka juga adalah tidak kukuh.

“Jika dibaca kesuluruhan hadis kita tahu, peristiwa itu berlaku pada haji wada’. Sedangkan ayat hijab dalam al-Quran turun sebelum itu lagi, iaitu pada tahun lima hijrah. Maka datang selepas itu, adalah tidak tepat,” ujarnya kepada Wilayahku.

Pun begitu, hal yang lebih besar kita boleh lihat adalah orang yang berpurdah akan menjaga tata tertib pakaian tidaklah berseluar ketat berbaju yang menampakkan susuk badan kerana harus sesuai dengan keadaan tudung dan purdah.

“Ada yang berpurdah kerana mengikut kawan, ada yang memakainya kerana lebih yakin untuk berhadapan masyarakat sekiranya berpurdah, ada yang ingin nampak cantik, ada juga melalui gerak hati, ada yang ingin menjaga diri dari fitnah dan sebagainya bergantung pada niat.

“Dalam masa yang sama, purdah dapat menjaga seseorang untuk pergi ke tempat tempat yang tidak sepatutnya dikunjungi malah ia dapat mengelakkan seseorang daripada ingin melakukan perkara yang keji dan merosakkan akhlak lebih-lebih lagi di khalayak ramai,” katanya.

Tambah Sharifah lagi, berpurdah bergantung kepada keinginan dan keselesaan seseorang namun perlu juga ambil tahu bahawa keadaan hari ini memerlukan kita untuk lebih peka terhadap persekitaran dan kesihatan.

“Mungkin di sesetengah tempat mereka tidak berpurdah, semestinya akan menjadi tumpuan kerana purdah ini hanya terkenal di beberapa negara timur tengah.

“Namun begitu, pemahaman budaya sesetengah masyarakat rata-rata mengetahui berpurdah tidak lagi menjadi satu perkara yang pelik kerana masyarakat hari ini lebih bersifat terbuka dan menghormati pendirian masing-masing,” ujarnya.-WILAYAHKU

Habis-//

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas