Artikel

Membaca pemangkin tamadun bangsa

- Diterbit 26 April 2024 10:25 AM MYT

BUKU berupaya membenihkan ilham pemikiran kritis daripada segi politik, falsafah serta sosioekonomi dalam kalangan kelompok manusia dan membaca juga tidak dapat dinafikan menjadi titik permulaan penelaahan dan jelajah ilmu para cendekiawan dan filasuf dunia barat mahupun timur, klasik juga moden.

Justeru itu, amatlah penting untuk memupuk budaya membaca dalam setiap rakyat Malaysia terutamanya golongan anak muda kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Mengambil langkah ke arah membudayakan amalan membaca, pelbagai program dan acara diadakan bagi menarik golongan muda misalnya kemuncak pesta buku iaitu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang diadakan saban tahun.

Menariknya penganjuran tahun lalu menyaksikan belia antara golongan yang sentiasa memenuhi pesta tersebut sepanjang ia berlangsung.

Ikuti temu bual eksklusif wartawan Wilayahku DIANA AMIR dan jurufoto, SYUQQREE DAIN juga juruvideo, HASIF HALIMI bersama Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, MOHD KHAIR NGADIRON mengenai penganjuran PBAKL 2024 serta pandangannya mengenai industri perbukuan dalam membentuk generasi masa hadapan.

Melangkah ke arah pendigitalan total, adakah benar bahawa industri buku ini sudah mati tambahan pula dengan penutupan beberapa kedai buku selepas pandemik?

Kalau kita lihat penutupan buku seperti MPH, Borders dan sebagainya adalah kerana perbezaan model perniagaan di mana ia bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di luar negara juga banyak kedai buku berangkaian ditutup. Mungkin kerana kosnya yang tinggi namun apa yang saya boleh katakan adalah terdapat pertambahan bilangan kedai-kedai buku persendirian.

Selain itu, zaman kini orang tidak lagi menjual buku melalui penjualan secara konvensional di kedai-kedai buku kerana telah beralih dengan medium penjualan secara dalam talian. Saya ada penerbit yang berkongsi kisah di mana penjualan buku yang dilakukan secara dalam talian mampu mencecah melebihi 5,000 naskhah bagi satu tajuk dalam satu minggu sahaja. Jadi saya berpendapat bahawa minat membaca itu memang bertambah kerana jualan buku meningkat tetapi medium dan caranya sahaja yang berbeza.

Menyedari kini negara sudah bergerak ke hadapan dan sudah beralih ke zaman pendigitalan, penganjuran pesta buku kali ini merupakan yang ketiga kita adakan secara hybrid di mana ia bukan sahaja diadakan secara fizikal tetapi juga dalam talian. Dengan kaedah ini kita dapat memberi akses buku kepada seluruh masyarakat Malaysia jadi buat mereka yang jauh dan tidak berkesempatan ke sini boleh membeli buku menerusi platform online dengan harga sama.

Selama ini Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt menjadi tempat penjualan harta intelek di mana ia berbeza dengan pesta buku yang diadakan di sini, boleh kongsikan sedikit berkenaan ASIAN Rights Fair yang akan diadakan?

ASIAN Rights Fair dikendalikan oleh Perbadanan Kota Buku di mana ia mengumpulkan pemain-pemain industri dari pelbagai negara untuk datang ke Malaysia bagi tujuan perdagangan hak cipta. Kita telah memilih lapan wakil Kedutaan Thailand, Vietnam, Filipina, Kemboja, Indonesia, Myanmar dan Iran yang akan mempromosikan buku mereka dan juga kita ada pemain industri dari China, Taiwan, India dan juga lapan negara tadi untuk bersama-sama berkumpul bagi mengadakan satu pemadanan perniagaan.

Penjualan tersebut akan diadakan selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Mei 2024 dan ia merupakan lanjutan daripada apa yang kita lakukan di Frankfurt. Pada tahun ini, seperti semua sedia maklum kita tidak ke Frankfurt rentetan boikot yang dilakukan pada tahun lalu tetapi kita mempunyai inisiatif lain di mana pihak kami akan ke Beijing International Book Fair pada pertengahan Jun ini.

Pada tahun lalu, sewaktu perdagangan hak cipta kita ada menjemput pihak China sebagai tetamu kehormat dan natijah selepas itu, buat pertama kali di Beijing International Book Fair, mereka telah bersetuju agar Malaysia mengemukakan sebanyak 200 judul buku untuk dijual kepada lebih 1,000 perpustakaan di Universiti China. Ia merupakan satu penerobosan perniagaan perbukuan yang paling besar pernah dilakukan.

Sebanyak 500 judul buku telah disenarai pendekkan merangkumi pelbagai genre seperti akademik, budaya, bahasa Melayu dan sebagainya di mana pemilihan telah pun dilakukan pada dua minggu lalu serta mendapat pengesahan daripada pihak China. Bagi saya ia adalah satu perkara yang luar biasa sekali gus memberi semangat kepada penulis di luar sana untuk terus menulis.

Selain itu, matlamat ASIANN Rights Book Fair ini juga adalah untuk kita mempunyai hak perdagangan buku daripada pihak ASIANN untuk kita bawa ke luar negara di mana ia sudah pun dimulakan di Chennai kerana kita mempunyai buku Tamil dan kini pihak kita sedang mencari jalan untuk mengorak langkah bagi menerobos pasaran Timur Tengah.

Ramai pemain baharu dalam industri ini, adakah ia petanda yang bagus apabila mempunyai terlalu ramai penerbit dalam satu industri?

Bagi pandangan saya, ia adalah perkara yang bagus dan perlu di mana penerbit persendirian juga tidak mengapa kerana apabila ramai penerbit maka kita akan lahirkan lebih ramai penulis sekali gus membantu menghasilkan pelbagai genre dan ini penting dalam memastikan bahawa masyarakat kita akan berkembang maju kerana mempunyai banyak bahan bacaan. Orang kata yang popular adalah buku cinta namun kini buku healing lebih popular dalam kalangan anak muda meskipun mungkin kita rasa ia sebuah pembacaan yang ringan namun ia penting untuk kita lihat bahawa industri ini memenuhi semua cita rasa pembaca merangkumi semua peringkat umur.

Setuju ke kalau kita katakan buku adalah lambang ketamadunan sesebuah negara?

Saya sangat setuju kerana jatuh bangunnya sesebuah negara itu boleh dilihat dengan adanya buku. Sebagai contoh Empayar Rom di mana kita dapat mengetahui mengenai apa yang berlaku menerusi penceritaan di dalam buku-buku yang dihasilkan. Dengan adanya buku, kita tahu sejarahnya sama juga seperti Hikayat Hang Tuah dan sebagainya. Buku adalah lambang ketamadunan kita.

Ia juga merupakan lambang intelektual bangsa tersebut sebagai contoh zaman pandemik COVID-19 banyak buku yang dihasilkan inspirasi daripada apa yang berlaku tentang bagaimana kita adaptasi dengan keadaan ketika itu. Tulislah buku walau apa pun genrenya kerana setiap buku memainkan peranan penting untuk melihat diri kita sebab itu saya percaya bahawa sebuah buku is very good namecard.

Boleh kongsikan sedikit mengenai PBAKL 2024?

PBAKL 2024 merupakan penganjuran kali ke-41 yang bakal diadakan bermula 24 Mei sehingga 2 Jun ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi sehingga 10 malam dengan melibatkan lebih 220 pempamer dan 972 reruai di mana terdapat peningkatan berbanding 814 reruai pada tahun lalu.

Kalau tahun lalu, kita mula dengan sedikit kontroversi namun pada kali ini kita mula buka sewaan reruai pada Disember 2023 dan tiga hari pertama itu kita sudah mencapai kapasiti yang maksimum di mana semua reruai habis dijual dan sehingga kini masih ada pihak yang cuba mendapatkan tempat namun keupayaan kita hanya setakat itu sahaja. Di sini saya lihat ia satu petanda di mana pesta buku masih relevan dan mempunyai peminatnya tersendiri dan penulis serta penerbit juga melihat pesta buku ini adalah satu medan di mana mereka boleh menjual buku dan mampu mendapat sambutan menggalakkan.

Sasaran bagi penganjuran kali ini adalah sebanyak 1.5 juta pengunjung dan diharapkan dengan penganjuran PBAKL 2024 ia dapat memperkasakan industri perbukuan serta kita mahu pemain-pemain industri ini mempunyai ruang dan peluang berada di tempat berprestij dalam menjual produk mereka.

Diharapkan juga PBAKL 2024 menjadi pesta buku yang berjaya baik dari segi jualan, pengunjung dan juga komitmen kerajaan terhadap industri perbukuan. Saya sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia yang menyatakan kesudian untuk menghadiri seterusnya merasmikan PBAKL 2024 dan saya fikir ia satu komitmen yang sangat baik kepada industri perbukuan sekali gus menunjukkan kecintaan mereka terhadap ilmu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas