Lensa

PMWP: KL City tundukkan Negeri Sembilan dengan 10 pemain

- Diterbit 26 April 2024 9:45 AM MYT

Oleh SYUQQREE DAIN

PASUKAN Kuala Lumpur City (KL City) FC mempamerkan aksi kemas dan meyakinkan apabila berjaya menjulang trofi edisi keempat Piala Menteri Wilayah Persekutuan (PMWP) 2024 dengan menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-1 pada 22 April di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

PMWP merupakan acara persahabatan pramusim berprofil tinggi KL City FC dan ia telah dipertandingkan buat pertama kali pada tahun 2021 di mana KL City FC muncul selaku juara sulung dengan menewaskan Selangor FC, namun ia bertukar tangan kepada NSFC pada edisi dua tahun lalu.

Perlawanan yang turut dijadikan sebagai ujian penggunaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) secara langsung buat kali pertama itu menyaksikan KL City FC mendominasi dengan selesa dan berjaya mengawal permainan sekali gus merampas kembali takhta PMWP dari skuad Hoben Jang Hoben.

Layangan kad merah yang diterima Brendan Gan selaku rekrut terbaru skuad The City Boys pada minit ke-79 telah memaksa mereka untuk beraksi dengan 10 orang pemain sehingga wisel penamat dibunyikan namun ia sedikit pun tidak merencatkan rentak permainan pasukan KL City FC.

Aksi kali ini turut dihadiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa; Menteri Komunikasi merangkap Penaung KL City FC, Fahmi Fadzil; Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram dan Pengerusi NSFC, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas