Artikel

Pendekatan berbeza WP bantu rakyat

ANNUAR menyelami luahan gelandangan yang ditempatkan sementara di Pusat Komuniti Sentul Perdana.
- Diterbit 27 Oktober 2020 1:00 PM MYT

KETIKA pihak berkuasa tempatan lain ‘memburu’ peniaga tidak berlesen, menyita atau memunggah barang perniagaan mereka ke dalam lori, beliau menyantuni peniaga dan memberi mereka harapan untuk terus berniaga.

Ternyata pendekatannya berbeza. Baginya, mereka yang ingin berniaga tidak harus dihalang kerana itu sumber rezeki. Kaedahnya sahaja yang mesti dibetulkan untuk membolehkan mereka berniaga secara sah dan menurut peraturan undang­ undang.

Itulah peribadi Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa, seorang pemimpin yang Adi perhatikan begitu aktif dan kuat bekerja demi kesejahteraaan Wilayah Persekutuan dan warga penduduknya. Dalam negara menghadapi pandemik COViD­-19 kini dan ketika pihak lain dilihat banyak bermain politik, keutamaannya adalah kepada rakyat yang terhimpit akibat pandemik tersebut, kelembapan ekonomi dan keperitan hidup.

Beliau begitu prihatin dengan masalah warga kota dan sentiasa menekankan pendekatan berhemah dalam menangani permasalahan mereka, daripada isu besar sehinggalah kepada isu peniaga dan penjaja tidak berlesen.

Pendekatan beliau ialah membantu peniaga tidak berlesen ini serta membantu memudahkan mereka mendapat lesen sah, bukan bersikap keras menghukum serta menyekat punca rezeki. Kerana itulah Annuar sendiri turun padang menyantuni para peniaga, termasuk para peniaga tepi jalan dan menyerahkan sendiri kepada mereka permit perniagaan sementara, khususnya ketika pandemik COViD-­19 sekarang.

Adi masih ingat, beliau datang sendiri menyerahkan lesen niaga kepada penjual nasi bergerak di Damansara, Minah Awang atau dikenali Cik Nah pada Jun lalu setelah 35 tahun Cik Nah menunggu. Cik Nah gagal mendapat lesen walaupun sudah beberapa kali memohon kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Keprihatinan Annuar merungkai masalah Cik Nah dan kehadirannya menyerahkan lesen adalah rahmat besar kepada Cik Nah. Sepanjang tempoh lesen sementara ini, para peniaga digalakkan memohon lesen tetap daripada DBKL untuk memastikan mereka berniaga dalam tenang tanpa gangguan penguatkuasa, selain mematuhi keperluan undang­undang.

Malah urusan permohonan lesen ini akan dipermudahkan dengan bayaran sangat berpatutan agar tidak membebankan peniaga. Bukan itu sahaja, peniaga yang ingin berniaga di lokasi tertentu boleh mengesyorkan kepada DBKL untuk diteliti.

Jika didapati lokasi memang strategik, mereka akan dibenarkan beroperasi dan diberi lesen. Annuar begitu prihatin membela golongan yang tertekan akibat COViD­-19.

“Adi masih ingat, beliau datang sendiri menyerahkan lesen niaga kepada penjual nasi bergerak di Damansara, Minah Awang atau dikenali Cik Nah pada Jun lalu setelah 35 tahun Cik Nah menunggu.

Menyedari ramai yang hilang pekerjaan dan hilang pendapatan akibat pandemik tersebut, beliau membuka peluang pekerjaan kepada mereka dengan pembukaan lebih 100 kios perniagaan di Kuala Lumur dan Putrajaya, termasuk dalam kompleks beli­-belah terkenal.

Kios perniagaan dalam pelbagai saiz dengan kadar sewa berpatutan disediakan untuk mereka mohon bagi memulakan perniagaan.

Beliau mahu mereka yang telah memohon dan mendapat kios agar berniaga dengan bersungguh­sungguh dan menjadikan perniagaan satu kerjaya.

Adi kagum dengan sikap Annuar kerana turut membuka peluang berniaga di kios ini kepada lepasan universiti yang masih belum mendapat kerja setelah tamat pengajian.

Beliau tidak lupa membantu graduan muda ini untuk berniaga sama ada secara tetap atau sekurang­ kurangnya sehingga beroleh pekerjaan.

Malah gelandangan, termasuk yang pernah terjebak dalam kancah penagihan dadah, juga tidak terlepas daripada keprihatinan Annuar. Sementara perlindungan diberi, latihan disediakan agar mereka mampu berdikari.

Harapan beliau ialah setelah menjalani latihan dan pemulihan, mereka akan memiliki kemahiran dan seterusnya membolehkan mereka berdikari. itulah cara sebaiknya berhijrah daripada belenggu gelandangan dan tidak lagi terus berharap kepada bantuan pihak lain.

Kini apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) peringkat kedua dikuatkuasakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dari 14 hingga 27 Oktober, Adi lihat sekali lagi menyerlahkan keprihatinan Annuar.

Beliau telah mengumumkan pelan inisiatif Wilayah Cakna 3.0 di mana Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersama agensi berkaitan memperuntukkan RM39.75 juta bagi membantu warga Wilayah Persekutuan menghadapi PKPB.

Insiatif Wilayah Cakna 3.0 kali ini hanya tertumpu kepada golongan yang terkesan dengan PKPB sahaja, tidak melibatkan kluster petugas barisan hadapan serta pesakit di bawah pemantauan (PUi) COViD­-19.

Sebelum inisiatif Wilayah Cakna 3.0, sejumlah RM108.64 juta telah pun dibelanjakan bagi program inisiatif Wilayah Cakna dari Mac hingga 12 Oktober lalu.

Bagi Adi segala usaha yang dilakukan oleh Annuar adalah demi kepentingan rakyat, membantu meringankan beban serta mensejahterakan kehidupan mereka, terutama ketika melalui waktu sukar akibat pandemik COViD­-19. Beliau melakukan ini semua tanpa ‘memukul canang’.

Yang penting ialah hasil dan pencapaian matlamat. Bertindak tanpa banyak bercakap adalah lebih baik berbanding banyak bercakap tetapi tiada tindakan dan tiada hasil.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas