Artikel

Pembangunan semula naik taraf hidup warga kota

PEMBANGUNAN semula membolehkan warga kota yang terpinggir menikmati kehidupan saksama.
- Diterbit 28 Oktober 2020 4:30 AM MYT

TERSELIT di tengah-tengah kawasan elit dan bangunan pencakar langit, bangunan yang dibina Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada era 70-an seharusnya dibangunkan semula
dengan binaan yang setanding peredaran zaman.

Tambahan pula, Kampung Sungai Baru yang terletak di Kampung Baru berada di dalam segitiga emas Kuala Lumpur serta bersebelahan Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang merupakan salah satu ikonik negara.

Justeru, projek pembangunan semula sangat diharapkan sekali gus menepis dakwaan lokasi seluas 3.18 hektar itu memberi gambaran jelek dan mencacatkan pemandangan ibu negara.

Malah, selain keadaan semasanya yang sudah usang, jalan sekitar juga sempit dan penduduk setempat terpaksa meletakkan kenderaan di bahu jalan.

Pembangunan semula Kampung Sungai Baru juga perlu dilaksanakan bagi memastikan penduduk setempat dapat menikmati sebuah gaya kehidupan yang baru dan moden selaras dengan pembangunan sekelilingnya.

Tanpa menghalau penduduk setempat, cadangan pembinaan adalah berkonsepkan gantian
iaitu pemilik akan tetap mendapat hak mereka malah lebih selesa berbanding keadaan semasa sejajar dengan objektifnya mahu menaik taraf kehidupan penduduk dengan pemilikan hartanah yang bernilai berlipat kali ganda.

JIHAD PEMBANGUNAN SEMULA

BUKAN sekadar memberi keselesaan kepada penduduk Flat Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, pembangunan semula yang direncanakan syarikat pemaju Suez Domain Sdn Bhd itu juga berunsur jihad.

Mana tidaknya, sudah hampir empat tahun usaha memujuk pemilik dilakukan dengan kos perbelanjaan dianggarkan bernilai RM25 juta walaupun menerima tentangan hebat daripada pemilik.

Jika syarikat biasa, pastinya sudah tarik diri atau terpaksa gulung tikar kerana jumlah yang dikeluarkan itu sudah banyak tetapi jumlah persetujuan hanya sekitar 60 hingga 80 peratus sahaja.

ABDUL HADI

Menurut Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta Ritzy Gloss Sdn Bhd, Abdul Hadi Ahmad, disebabkan kesukaran mendapatkan persetujuan pemilik, pembangunan semula sukar dilakukan selain tidak banyak syarikat yang mampu melakukannya.

Berkongsi tips, ujarnya, projek seumpama itu mesti mempunyai unsur jihad walaupun fokus utama sesetengah syarikat adalah mendapatkan keuntungan.

“Bayangkan, pembangunan semula rumah flat yang ada lapan blok, kalau ia nak dibangunkan dengan sendiri, adalah mustahil kerana keluasan tanah sangat kecil.

“Malah (sepanjang) 40 tahun pembangunannya, harga hanya sekitar RM130,000 dan insya-Allah kalau bersama dengan projek ini, harga hartanah dianggarkan jutaan ringgit atau enam kali ganda daripada sekarang,” katanya yang menjanjikan konsep gantian.

Pembangunan semula yang dirancang itu akan melibatkan 328 unit rumah yang mana 264 adalah rumah flat dan selebihnya merupakan unit teres.

Mengulas tentang penglibatan pemilik rumah teres, jelas Abdul Hadi, tanpa kawasan sekitar unit tersebut, pembangunan semula sukar dilakukan kerana keluasan lapan blok flat Kampung Sungai Baru begitu terhad.

“Rumah teres kalau diikutkan agak selesa, ada tanah dan sebagainya. Sebab itu kita mendapat tentangan malah (sepanjang empat tahun) hampir 50 peratus sahaja yang bersetuju.

“Bab ehsan ni, saya cakap orang rumah teres tolong saudara kamu di rumah flat kerana rasanya sukar bagi penghuni di situ merasa kondo baru. Tempat mereka tidak dapat dibangunkan melainkan dengan ehsan rumah teres.

“Rumah teres 64 unit, baru 32 setuju dan pampasan mereka juga berbeza. Paling kurang pun mereka akan dapat tiga biji kondominium.

“Ada yang kita nilaikan bukan hanya tanah tetapi rumahnya juga oleh itu, akan ada yang dapat lebih RM3 juta,” jelasnya pampasan seumpama itu membuatkan pemilik yang menyewakan kediaman bersetuju.

RUMAH flat Kampung Sungai Baru berkeluasan kira-kira 460 kaki persegi.

Abdul Hadi juga menyatakan, pihaknya menawarkan skim sewaan kepada pemilik iaitu selain diberikan pilihan tempat tinggal sepanjang tempoh pembangunan dijalankan, duit sewaan yang berjumlah sehingga RM2,500 akan diberikan.

Ujarnya, langkah itu sekali gus memberikan keselesaan kepada pemilik untuk memilih rumah sewa sementara menanti pembinaan siap.

Mengambil contoh salah seorang pemilik yang telah menandatangani perjanjian empat tahun lalu, ujar Abdul Hadi, individu tersebut sudah memperoleh wang sewaan yang dianggarkan RM177,600.

Menurut beliau, setiap pemilik juga dijanjikan dengan keluasan dua kali ganda yang mana sekiranya tanah berkeluasan 460 kaki persegi (kp), mereka akan mendapat 920kp manakala sekiranya terdapat lebihan keluasan ia akan ditukarkan kepada wang tunai.

“Bab ehsan ni, saya cakap orang rumah teres tolong saudara kamu di rumah flat kerana rasanya sukar bagi penghuni di situ merasa kondo baru. Tempat mereka tidak dapat dibangunkan melainkan dengan ehsan rumah teres.

DISOKONG KERAJAAN

Tidak dinafikan bahawa perasaan bimbang menyelubungi fikiran penduduk, kerana mereka perlu mengambil risiko ketiadaan tempat tinggal sekiranya pembinaan yang dirancang terbengkalai umpama ‘harapkan burung terbang tinggi, punai ditangan dilepaskan’.

Namun bagi Abdul Hadi, jaminan yang boleh diberikan kepada 328 pemilik rumah adalah, pemaju yang ingin menjalankan pembangunan semula mempunyai pengalaman luas dalam bidang tersebut selain mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

“Kita pernah buat perkara macam ini (pembangunan semula) dekat Kerinchi, Bangsar. Malah, mendapat sokongan daripada agensi kerajaan dan semakan latar belakang (pemaju) juga dibuat.

“Mesyuarat dilakukan bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa baru- baru ini dan beliau berikan sokongan manakala Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) menjadi urusetia. Beberapa agensi terlibat juga turut dipanggil.

“Risiko memang ada tetapi macam mana kita nak kurangkannya adalah melalui proses berfasa berdasarkan ‘demand supply’ dan ‘market study’ serta kawalan kos iaitu rumah penduduk disiapkan terlebih dahulu barulah pembinaan lain dilakukan,” jelasnya.

Menceritakan tentang pembangunan semula Kerinchi yang bermula 2012 dan siap 2014, ujarnya, pada masa ini, terdapat sedikit lagi baki tanah yang belum dibangunkan dan ia akan dijalankan mengikut permintaan.

Dalam pada itu, ketika disoal tentang persetujuan yang diterima, Abdul Hadi berkata, pada masa ini, 82 peratus penduduk rumah flat telah bersetuju.

Ujarnya, daripada jumlah itu, ada yang sudah tandatangan dan ada yang masih menunggu urusan pusaka diselesaikan dahulu.

“Untuk rumah flat, pertamanya, kita tawar tunai (RM72,000 hingga RM84,000) dan rumah baru
secara percuma. Kalau mereka sewakan unit lama baru berharga antara RM400 hingga RM500, bayangkan nanti, harga sewaan akan mencecah lebih RM2000.

“Bagi yang tinggal di situ pula, keluasan sekarang adalah sekitar 500kp, selepas pembinaan siap mereka ditawarkan keluasan 1,200kp.

“Bukan hanya selesa, kemudahan juga banyak kerana kita berikan kondominium yang lengkap dengan jakuzi serta pelbagai kemudahan,” jelasnya sambil berharap taraf hidup penduduk sekitar dapat ditingkatkan.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas