Berita

Permudah warga Labuan miliki rumah

ZAIZALNIZAM (dua dari kiri) memberikan taklimat berkenaan skim pembiayaan SPWP kepada penduduk di Perumahan Sungai Bedaun baru-baru ini.
- Diterbit 2 Disember 2019 3:58 AM MYT

Oleh NORHATIJAH ABDUL RAJAK
[email protected]

LABUAN – Kira-kira 300 penduduk Perumahan Sungai Bedaun dan Perumahan Taman Mutiara di bawah Perbadanan Labuan menyertai taklimat Skim Pembiayaan Pembelian Rumah yang disampaikan oleh pihak Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun ber­kata, program ini diadakan bagi menjelaskan kepada penduduk berhubung skim pembiayaan pembelian rumah melalui Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan Sdn. Bhd. (SPWP).

“Taklimat ini menerangkan proses penjualan dan pembelian serta untuk mendapatkan maklum balas penduduk untuk melihat dari segi kemampuan pendapatan mereka.

‘‘Hasil kaji selidik yang dilakukan itu nanti kita akan lihat berapa kadar bayaran pinjaman yang la­yak bagi mereka atau memberikan tempoh pinjaman lebih panjang. Ini supaya kadar bayaran bulanannya lebih rendah,” katanya kepada Wilayahku selepas majlis taklimat itu baru-baru ini.

Zaizalnizam berkata, hasil kaji selidik itu akan dihantar kepada Perbadanan Labuan (PL) untuk membolehkan mereka meneliti dari segi penentuan kadar harga penjualan rumah yang masa ini disewa oleh penduduk ter­babit.

‘‘Memang penduduk berminat untuk membeli rumah berkenaan sebab sudah lama mereka menunggu.

‘‘Jadi selepas PL mengeluarkan tawaran penjualan rumah, SPWP akan mengeluarkan tawaran pinjaman mengikut syarat yang ditetapkan,’’ katanya.

Katanya, SPWP tampil menawarkan pinjaman pembelian rumah memandang­kan ada penduduk sukar mendapat­kan pinjaman bank.

‘‘Kita juga telah menerangkan kepada penduduk tentang kejayaan skim pembiyaan SPWP yang dilaksana­kan di Kuala Lumpur,’’ kata­nya.

Dalam pada itu, seorang wakil penduduk Perumahan Sungai Bedaun, Noor Maziz Damit berkata, cadangan penentuan nilai harga rumah perlu dikaji dari segi kemampuan penduduk.

“Purata penduduk di Labuan tidak berpendapatan tinggi dan sekiranya penilaian yang dilakukan lebih tinggi dari­pada kemampuan, dikhuatiri ramai tidak dapat memiliki rumah.

“Justeru melalui kaedah yang diperkenalkan pihak SPWP akan memberikan peluang kepada warga Labuan memiliki rumah dan seterusnya dapat menyumbang kepada kekuatan sosial masya­rakat di sini,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas