Biz

Bermula dari kiosk kini miliki restoran

- Diterbit 22 April 2024 12:13 PM MYT

HANYA bermodalkan RM500, siapa sangka Nurul Amirah Zailan, 34, yang dulunya hanya berniaga di kiosk kecil mampu membuka sebuah restoran popular yang dikenali sebagai TGSK Kuala Lumpur (KL) yang terletak di Bukit Antarabangsa.

Namun, di sebalik kejayaan itu, dia dan suami perlu berdepan situasi getir apabila perlu bertahan dengan modal yang kecil selama beberapa tahun tanpa bantuan mana-mana pihak mahupun pinjaman daripada pihak bank.

Tidak hanya itu, dia juga perlu berdepan dengan situasi pertukaran tempat niaga berikutan lokasi sebelum ini terpaksa dirobohkan untuk pembangunan.

“TGSK KL yang kini beroperasi di Bukit Antarabangsa merupakan lokasi ketiga. Kami terpaksa mencari tempat lain kerana ketika itu kami diberi notis perobohan lokasi berkenaan.

“Waktu itu memang susah nak dapat tempat tapi mujurlah kami mendapat bantuan daripada seorang lelaki,” katanya.

Berkongsi keistimewaan TGSK KL, Nurul Amirah berkata restoran berkonsepkan santai ini turut menampilkan masakan dari negeri Johor dan Terengganu seperti lontong darat, nasi dagang dan sebagainya.

“Kesemua juadah adalah menu utama yang sentiasa menjadi rebutan terutama tempe goreng yang merupakan produk pertama dikeluarkan restoran ini.

“Menampilkan 16 sajian makanan, saya tertarik untuk mengetengahkan hidangan kampung berikutan agak sukar mendapatkannya di Kuala Lumpur selain ingin pelanggan mengimbau kenangan ketika berada di kampung.

“Susah hendak dapat makanan sebegini di tengah bandar lebih-lebih lagi ubi kayu rebus di mana ia merupakan juadah kegemaran orang kampung.

“Boleh dikatakan 90 peratus adalah resipi saya sendiri namun kita juga mengalu-alukan idea daripada pengunjung untuk mencadangkan menu-menu tambahan lain yang boleh kita komersialkan di sini,” katanya. Seiring masa berlalu, TGSK KL mendapat tempat di hati pelanggan sekali gus sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga mereka sanggup beratur panjang semata-mata ingin menikmati kelazatan hidangan Melayu yang ditampilkan.

“Ini juga menjadi sebahagian daripada cabaran yang perlu ditempuhi kerana kasihan melihat pelanggan. Jadi, sebelum itu,
kami akan jelaskan kepada mereka tentang had kapasiti di TGSK KL selain meminta untuk sabar menunggu meja kosong,”
katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas