Berita

Penampilan kelima di Olimpik bukan sekadar melengkapkan penyertaan – Azizulhasni

AZIZUL.
- Diterbit 23 April 2024 2:40 PM MYT

JAGUH berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang bakal menjadi atlet lelaki pertama Malaysia beraksi di lima Sukan Olimpik berturut-turut, selepas secara rasminya mengesahkan slot ke temasya Paris 2024 pada 23 Julai hingga 11 Ogos ini.

Juara dunia keirin 2017 yang sudah mencecah usia 36 tahun itu menegaskan bahawa kehadirannya ke temasya terbesar dunia itu bukan untuk melengkapkan penyertaan semata-matanya.

Pelumba dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu menganggap penyertaan kali kelima itu sejak penampilan pertama di Beijing 2008, menjadi sejarah besar buat dirinya selepas turut beraksi di edisi London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020.

“Lumba basikal adalah antara sukan yang proses kelayakannya amat sukar dan rumit, ditambah pula dengan pelbagai cabaran luaran yang terpaksa diharungi sepanjang proses tersebut.

“Setiap kitaran Sukan Olimpik mengambil masa selama empat tahun, bermaksud pembabitan saya di temasya Sukan Olimpik ini sahaja sudah 20 tahun,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Beliau turut menyifatkan penampilannya kali ini di Olimpik sebagai ‘amat menarik’ kerana sudah berumur 36 tahun.

“…rata-rata dari kita percaya yang ianya sudah lewat dan prestasi seseorang atlet itu mulai melantai. Apa yang saya tonjolkan kepada mereka yang celik di sini adalah ianya bukan sesuatu yang mustahil untuk kita mendustai normal,” kata atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu.

Mohd Azizulhasni melakar sejarah sebagai pelumba basikal pertama Malaysia meraih pingat di Olimpik selepas membawa pulang gangsa menerusi keirin pada edisi Rio 2016 dan perak dalam acara sama di Tokyo 2020.

Beliau yang kini berada dalam fasa terakhir persediaan ke Olimpik, turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan penuh dan mendoakan kejayaan beliau serta atlet-atlet lain yang akan membawa cabaran negara ke Paris.

Terdahulu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill mengesahkan bahawa Mohd Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri layak ke Olimpik secara rasminya bagi acara keirin dan pecut.

Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei sebelum ini pernah beraksi di empat Olimpik iaitu Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 dan beliau membawa pulang tiga pingat perak bermula 2008 hingga 2016.

Penerjun wanita Datuk Leong Mun Yee merupakan atlet pertama negara beraksi di lima Olimpik (Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020). – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas