Artikel

Penambahbaikan majlis rumah terbuka

KUNJUNG-mengunjung merapatkan silaturahim. - Gambar hiasan
- Diterbit 26 April 2024 9:25 AM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

PESTA makan bersambung lagi. Selepas seminggu Hari Raya Aidilfitri, sesetengah dalam kalangan kita berdepan pula dengan majlis rumah terbuka. Berjujuk di sana sini walaupun banyaknya hanya terbuka kepada tetamu bertaraf korporat sahaja.

Selepas sebulan berpuasa, banyak yang menikmati penurunan berat badan yang ideal – bentuk badan juga menjadi lebih kurus berbanding sebelumnya. Bagaimanapun telah berubah apabila banyak undangan rumah terbuka. Bukan setiap hari malah dua atau tiga undangan sehari.

Selalunya rumah terbuka korporat dihadiri oleh orang yang sama dengan majlis berbuka puasa. Boleh dikatakan nama mereka tidak tercicir untuk rumah terbuka kerana senarai undangan itu jarang diubah – sebaliknya mengikut senarai tetamu yang lama.

Rumah terbuka anjuran pihak korporat tidak sama dengan majlis selalu diadakan secara persendirian terutama di kampung-kampung. Biasanya di kampung tidak ada undangan yang khusus, sama seperti berkunjung pada Hari Raya. Pada Hari Raya itulah sebenarnya rumah terbuka.

Datanglah berkunjung, tanpa sebarang temu janji atau undangan yang khusus. Kalau tuan rumah tidak ke mana-mana, datanglah. Itulah konsep merayakan Aidilfitri yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat Melayu. Asasnya menggalakkan kunjung-mengunjungi yang menjadi pemangkin keakraban.

Hal itu sama dengan majlis berbuka puasa yang diadakan di masjid atau surau-surau. Terbuka kepada semua pengunjung dan makanlah apa yang ada. Tradisi berbuka puasa di masjid atau surau memang difahami terbuka tanpa mengira kelas sosial. Semuanya sama sahaja.

Bagaimanapun sosial adalah suatu yang dinamik. Sentiasa berubah pada bentuk yang baharu. Hal yang sama juga berlaku pada majlis rumah terbuka di mana awalnya secara kecil-kecilan berubah menjadi acara mewah dan bertaraf mega dengan penglibatan pihak korporat.

Sesetengah dalam kalangan korporat melihat rumah terbuka ada potensi untuk dijadikan ruang melebarkan hubungan sosial dengan rakan korporat dan kakitangan serta peluang di sudut penjenamaan dan pemasaran.

Sebenarnya rumah terbuka adalah satu amalan baharu yang diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri. Ia bukan salah satu tradisi dalam budaya masyarakat Melayu di negara ini. Rumah terbuka berkembang daripada bentuk yang asal di kampung oleh gaya hidup masyarakat Melayu di kota besar seperti Kuala Lumpur.

Kita terpaksa mengakui bahawa wujudnya amalan rumah terbuka itu bertolak daripada konsep kunjung-mengunjung dalam kalangan keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga ketika menyambut Aidilfitri.

Disebabkan ruang waktu menyambut Hari Raya agak terbatas kerana banyak yang bercuti di kampung masing-masing, sebagai gantinya mereka mengadakan rumah terbuka atau sambutan Aidilfitri yang tertunda.

Rumah terbuka menjadi begitu popular sebagai satu amalan baharu apabila pihak korporat turut sama menganjurkan majlis untuk meraikan rakan perniagaan, pelanggan dan pihak-pihak yang berkepentingan dengan kegiatan korporatnya.

Daripada sudut pandangan dunia korporat, majlis rumah terbuka adalah penjenamaan dan pemasaran. Majlis seperti itu dimanfaatkan untuk melebarkan penjenamaan korporat dengan mengundang tetamu tertentu bagi mewujudkan jaringan sosial secara tidak rasmi.

Bukan tradisi

SAMA seperti majlis berbuka puasa yang sudah teranjak daripada tujuan asal menjamu tetamu berbuka puasa, terutama untuk golongan yang kurang mampu. Bagaimanapun berbuka puasa lebih pada ruang jaringan sosial dalam perniagaan. Sebab itulah golongan yang kurang kemampuan hanya dua atau tiga meja sahaja, selebihnya tetamu daripada sektor korporat.

Sekalipun orang perseorangan terus menganjurkan rumah terbuka dengan mengundang rakan taulan, sanak saudara dan jiran tetangga, acara itu kelihatan tenggelam dalam dominasi pihak korporat.

Sebenarnya amalan rumah terbuka termasuk dianjurkan oleh korporat tidak ada di banyak negara Islam lainnya. Sebaliknya pihak korporat di luar negara yang prihatin menyalurkan sumbangan secara terus kepada golongan sasaran pada musim perayaan Aidilfitri.

Sekalipun begitu menganjurkan majlis rumah terbuka tidak mendatangkan sebarang kesalahan. Walaupun bukan satu tradisi dalam budaya, khususnya budaya Melayu, rumah terbuka boleh terus diadakan selagi tidak mencemarkan kesucian Aidilfitri.

Tetapi perlu diingat bahawa rumah terbuka tidak terlepas dengan perayaan Aidilfitri yang ada adab-adab tertentu – daripada pihak tuan rumah dan juga tetamu. Memang benar rumah terbuka bukan acara agama, akan tetapi masih membawa semangat Aidilfitri. Maka hal-hal yang berkaitan adab perlu diberi perhatian – misalnya bukan sebagai acara hibuan yang menjurus hedonisme.

Tentulah tidak sesuai kalau majlis rumah terbuka dipenuhi dengan acara hiburan dengan kelakuan yang tidak mencerminkan adab Aidilfitri. Memang benar, rumah terbuka untuk bersuka ria, akan tetapi ada adab-adab tertentu yang perlu dijaga supaya tidak mencemarkan tujuan majlis yang murni itu.

Kadangkala kita tertanya-tanya juga kenapa perlu dilambakkan persembahan hiburan pada majlis rumah terbuka? Kemeriahan bukan terletak pada hiburan yang tidak tepat dengan tujuan rumah terbuka. Kemeriahan tercetus apabila para tetamu datang dengan semangat dan adab Aidilfitri – misalnya busana tradisi atau moden yang tidak bertentangan dengan norma sosial secara umumnya.

Apabila konsep kunjung-mengunjung itu dibuat dalam skala yang besar, maka perkara utama yang perlu diambil perhatian adalah untuk mendapat kebaikan, misalnya mengukuhkan hubungan antara satu dengan lain. Antara satu kaum dengan kaum yang lain juga perlu ditekankan dalam penganjuran rumah terbuka.

Sementara pihak korporat pula perlu membuat penambahbaikan dengan tidak meminggirkan golongan yang tidak berkemampuan – penghuni rumah anak yatim atau rumah orang-orang tua dan sebagainya.

Sebenarnya itulah teras sambutan Hari Raya Aidilfitri yang tidak melupakan golongan yang kurang kemampuan. Kalau boleh biarlah separuh daripada ruang dewan di hotel lima bintang penuh dengan golongan itu berbanding dengan rakan-rakan korporat.

Alangkah indahnya Aidilfitri melalui rumah terbuka sekiranya golongan berkenaan juga boleh merasa juadah yang bertaraf ‘kayangan’ yang sebelum itu hanya didengar tetapi tidak pernah dijamah. Sekali lagi, rumah terbuka tidak terputus hubungannya dengan Aidilfitri.

Maka segala sesuatu yang mempunyai pertautan dengan Aidilfitri perlu dizahirkan supaya hari yang mulia itu memberikan kemuliaan kepada semua. Oleh hal yang demikian rumah terbuka bukan majlis makan yang biasa. Hak golongan yang tidak berkemampuan secara moralnya ada dalam setiap majlis rumah terbuka dan juga berbuka puasa.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas