Berita

Masjid penghubung silaturahim pelbagai kaum

- Diterbit 4 Mei 2024 3:12 PM MYT

MAJLIS Ramah Mesra Masjid dan Surau Jumaat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merupakan platform mendekatkan masyarakat kepada masjid dan surau di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata
penganjuran kali keempat sejak tahun 2019 itu melibatkan sebanyak 130 buah masjid dan surau Jumaat terpilih sekitar Wilayah Persekutuan.

“Menariknya juadah Hari Raya disediakan bersama bagi menjamu para tetamu terdiri pelbagai latar belakang kaum, bangsa dan agama selaras semangat muhibah masyarakat MADANI melalui konsep perpaduan dalam kepelbagaian.

“Kami berhasrat untuk menjalinkan silaturahim dalam kalangan masyarakat di Wilayah Persekutuan sekali gus memberi peluang kepada orang Islam atau bukan Islam untuk bertemu rapat dengan semua masjid,” ujar beliau.

Selain jamuan makanan percuma, beberapa acara selingan turut diadakan antaranya persembahan lagu puisi dan ketuhanan, persembahan rebana dan caklempong, sumbangan duit raya kepada anak yatim dan asnaf, pertandingan hiasan gerai masjid serta sesi penerangan tentang masjid dan keindahan ajaran Islam kepada para pengunjung.

Terdahulu, program anjuran JAWI dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersama gabungan masjid dan surau Jumaat di Wilayah-Wilayah Persekutuan turut melibatkan kerjasama pelbagai rakan strategik berlangsung meriah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas