Berita

Task Force Jambatan Labuan – Sabah akan laksanakan kajian teknikal – Zaliha

- Diterbit 2 Mei 2024 10:33 AM MYT

PASUKAN Khas (Task Force) Jambatan Labuan – Sabah yang diterajui Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersedia melaksanakan kajian teknikal namun tertakluk kepada perbelanjaan yang akan diluluskan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustaffa berkata Task Force yang turut dianggotai Kementerian Kerja Raya (KKR) itu telah mengadakan pertemuan dengan pemegang taruh dalam usaha memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan.

“Perkembangan terkini berkenaan task force itu bahawa mereka telah bersedia untuk melaksanakan kajian teknikal untuk pembinaan jambatan tersebut kerana sebelum ini hanya ada kajian kebolehlaksanaan yang dilaksanakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) namun ia sudah agak lama, manakala kajian teknikal tidak dilaksanakan mana-mana pihak sebelum ini.

“Task force ini memerlukan kajian teknikal untuk memastikan contohnya adakah ianya benar-benar boleh dilaksanakan dan berapakah perbelanjaan yang mungkin terlibat jika pembinaan itu akan dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB) hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah JWP, Datuk Noridah Abdul Rahim, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Sr Kamarulzaman Mat Salleh, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk TPr Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) Rithuan Ismail.

Terdahulu, beliau telah mengumumkan penubuhan tiga pasukan petugas sebagai usaha merancakkan ekonomi Labuan yang perlu menumpukan terhadap pembangunan pelancongan, pembinaan jambatan Labuan-Menumbok dan meningkatkan aktiviti pemindahan kargo kapal ke kapal. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas