Berita

Bintang empat negara Asia memeriahkan Banyak Bagus Festival

- Diterbit 4 Mei 2024 5:53 PM MYT

MENGGABUNGKAN artis popular dari empat negara Asia iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina, Banyak Bagus Festival (BBF) yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa The Mines menjadi tumpuan ramai bermula hari ini.

Menurut Pengarah Syarikat Banyak Bagus Entertainment David Chua Boon Ghee, dia berminat untuk mengadakan acara itu selepas berjaya membawa beberapa artis dari Malaysia menjayakan konsert di luar negara.

“Selepas menimba pengalaman di Los Angeles, Amerika Syarikat selama 10 tahun dalam bidang penganjuran konsert dan penerbitan muzik serta membawa artis Malaysia ke luar negara, saya nampak ada banyak potensi membabitkan artis dari Asia.

“Saya pernah menganjurkan konsert artis Thailand di sana. Kebanyakan pembeli tiket adalah penonton Muslim dan mereka hafal kesemua lagu mereka.

“Jadi saya nampak potensi yang besar untuk penyanyi dari Asia mengembangkan bakat mereka sekali gus memberi idea untuk saya menggabungkan artis dari empat negara di bawah satu pentas,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media BBF di Hotel Palm Garden, Putrajaya, hari ini.

Penyanyi tanah air yang akan membuat persembahan untuk dua hari konsert terbabit berlangsung ialah Dolla, Jaclyn Victor, Aisha Retno dan Insomniacks.

Artis Thailand pula diwakili Tilly Birds, Nanon, Getsunova, LYKN, 4EVE, dan Atlas manakala artis Filipina diwakili Ben & Ben dan Zack Tabudlo.

KUMPULAN Ben & Ben dari Filipina dan Tillybirds (Thailand) bersama para peminat pada majlis sidang media BBF di Hotel Palm Garden, Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Lyodra dan Fabio Asher mewakili artis dari Indonesia.

Dalam pada itu, David berkata, kesemua artis yang membuat persembahan di BBF adalah nama-nama yang besar dan popular di negara masing-masing.

“Artis yang kita senaraikan ini mempunyai ramai peminat, bukan sahaja di negara mereka sendiri tetapi juga merentas sempadan.

“Pemilihan mereka juga dibantu peminat yang memilih mereka menerusi kaji selidik yang kami buat di media sosial,” katanya.

PENGARAH Syarikat Banyak Bagus Entertainment David Chua Boon Ghee

Menurutnya, tiket festival BBF 2024 habis terjual dan kira-kira 3,000 peminat bakal memeriahkan acara itu.

BBF 2024 yang bakal berlangsung selama dua malam berturut-turut bermula hari ini dan esok.

Konsert ini dibawakan khas oleh Livepass Asia dan Banyak Bagus Entertainment dengan kerjasama LR Asia.- WILAYAHKU

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas