Berita

Tuduh MCMC dan Polis: MCMC lapor polis terhadap blogger Murray Hunter

- Diterbit 30 April 2024 4:11 AM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (MCMC) membuat laporan polis berhubung dakwaan seorang penulis blog dikenali sebagai Murray Hunter yang menuduh MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai institusi berlandaskan politik dalam pentadbiran Kerajaan sekarang.

Dalam satu kenyataan, MCMC menolak sekeras-kerasnya tohmahan oleh penulis blog ini yang tidak berasas.

“Sebagai sebuah badan berkanun, MCMC melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya berpandukan
Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), dan kesemua undang-undang subsidiari yang terkandung di
dalamnya.

“Segala tindakan penguatkuasaan yang diambil MCMC adalah mengikut proses dan prosedur yang ditetapkan sebagaimana termaktub dalam bidang kuasa MCMC sebagai pengawal selia
industri komunikasi dan multimedia negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut MCMC, penulisan Murray Hunter dilihat berunsur fitnah apabila beliau secara terbuka telah menuduh MCMC bertindak melangkaui bidang kuasanya untuk kepentingan diri.

“Beliau turut melemparkan tohmahan bahawa MCMC dan PDRM bertindak menakut-nakutkan masyarakat.

“Penyebaran kandungan tidak benar termasuk dengan niat mengganggu pihak lain adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 AKM 1998,” katanya.

Menurut kenyataan itu, tindakan memuat naik kandungan yang memfitnah dan menghina MCMC juga merupakan satu kesalahan.

“Sekiranya Murray Hunter mempunyai sebarang aduan terhadap MCMC, beliau perlu tampil untuk membuat aduan melalui saluran rasmi,” kata kenyataan itu.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas