Selebriti

Obses media sosial

- Diterbit 26 April 2024 11:15 AM MYT

MEDIA sosial merupakan trend masa kini yang tidak boleh ‘dipisahkan’ dengan kehidupan. Celik sahaja mata, perkara pertama yang dilakukan adalah melihat apa yang terbaharu dalam media sosial.

Apa yang lebih membimbangkan apabila ada individu yang gemar berkongsi kisah peribadi sehingga sanggup membuka pekung sendiri demi meraih perhatian.

Penyanyi terkenal Ziana Zain mengakui media sosial amat diperlukan namun usahlah terlalu obses terhadapnya.

Bagi Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 56, pengguna media sosial harus bijak menggunakan platform itu untuk kebaikan atau perkara-perkara yang membawa faedah.

“Bercakap pasal media sosial sebenarnya kita yang perlu kawal.

Saya gunakannya untuk hal kerja dan tak suka paparkan kehidupan peribadi terutamanya perihal anak-anak. Apa yang saya buat di rumah, itu kehidupan personal.

“Sehingga kadang-kadang kalau anda lihat, orang lain yang akan upload pasal saya. Bukan apa, kalau paparkan semua dah tak ada privasi. Kehidupan kita pun dah tak ada rahsia,” katanya.

Katanya, dalam zaman media sosial ini, para peminat lebih mudah untuk mengakses kehidupan artis.

“Diri akan sentiasa diperhatikan dari hujung rambut ke hujung kaki. Jadi kena hadaplah. Kita tak boleh cakap tidak. Jadi kena faham situasi tu,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, apabila ditanya tentang jodoh, Ziana tidak berasa hati dan menganggap ia adalah perkara biasa.

Dalam pada itu, dia bakal menjayakan Konsert Ziana Zain 2024 yang akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 25 Mei 2024.

Tiket dijual dengan harga bermula RM288 (Gold), RM488 (Platinum), RM688 (Diamond), RM888 (VIP 2) dan RM1,088 (VIP 1) di laman web www.­ticket2u.com.my/Zianazain. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas