Selebriti

Geng Kubur bukan sekadar seram

- Diterbit 26 April 2024 11:20 AM MYT

PELAKON yang semakin meningkat naik, Mia Sara Shauki mengaku tidak dapat melupakan kenangan manis sepanjang menjalani penggambaran filem Geng Kubur pada tahun lalu.

Mia Sara atau nama sebenarnya Mia Sara Afdlin Shauki, 24, berkata filem itu bukan semata-mata kisah seram, tetapi banyak mesej yang boleh dipelajari.

“Di sebalik kisah seram dalam Geng Kubur sebenarnya ada mesej tentang nilai persahabatan yang sukar untuk kita cari sekarang di mana persahabatan yang terjalin betul-betul ikhlas tanpa ada apa-apa niat lain.

“Bukan itu sahaja, perihal pentingnya hubungan dan kasih sayang dalam keluarga turut diterapkan. Kadang-kadang orang terlepas pandang elemen ini yang sebenarnya merupakan faktor penting dalam masyarakat kita.

“Setiap watak utama tidak menjalani kehidupan yang sempurna dan mereka perlu berhadapan isu yang melanda diri masing-masing. Boleh dikatakan, ada mesej yang ingin disampaikan kepada penonton.

“Saya harap, mesej-mesej sebegini sampai dan dapat dimanfaatkan. Itu yang lebih penting iaitu kesannya kepada jiwa,” katanya.

Dalam filem Geng Kubur ini, Mia membawa watak utama sebagai Melati yang merupakan satu-satunya perempuan dalam kumpulannya.

“Melati dan kawan-kawan baiknya dikenali sebagai Geng Kubur kerana sering lepak di kubur dan bercerita kisah yang seram. Mereka akan sebut nama seseorang, misalnya Adam. Jadi mereka cari kubur bernama Adam dan bercerita di kubur tersebut.

“Melati ni pula seorang yang suka baca akhbar tabloid yang berkaitan dengan tahyul. Dalam masa yang sama, Melati terlalu obses dengan kisah-kisah hantu,” ujarnya.

Dalam masa sama, dia juga tidak dapat melupakan pengalaman sepanjang penggambaran filem Geng Kubur yang disifatkannya terbaik.

“Boleh saya katakan, ini adalah pengalaman manis yang tak mungkin saya lupakan. Baik pengarah, pelakon dan kru, semuanya terbaik.

“Disebabkan itu saya akan datang awal ke set penggambaran dan mulakannya dengan perasaan seronok. Ia secara tak langsung membuatkan saya lebih menghayati watak Melati,” tambahnya lagi.

Selain Mia Sara, naskhah komedi seram, Geng Kubur arahan Gavin Yap ini turut menampilkan pelakon seperti Firdaus Sufiyan, Lion Chong dan Sasidaran.

Filem terbitan Iron Hill Media Sdn Bhd yang ditayangkan bermula Khamis lalu ini berkisar empat sekawan Firhan, Fang Liang, Prem dan Melati yang bersahabat baik dan sering menjadikan kubur tempat lepak mereka (kubur bukan Muslim).

Firhan yang kehilangan ibu akibat kemalangan 10 tahun lalu, masih tidak dapat melupakan ibunya dan dia sering bergaduh apabila emosinya terganggu.

Dia merasakan mimpinya adalah realiti dan percaya ibunya masih hidup dan mengajak kawan-kawannya pergi ke tempat kejadian untuk mencarinya. Semasa berada di hutan, pemikiran mereka telah dimanipulasi dan mereka mengalami pelbagai kejadian aneh yang menakutkan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas