Berita

Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan dilancar

STEVEN SIM.
- Diterbit 1 Mei 2024 1:05 PM MYT

KERANGKA Dasar Sumber Manusia Kebangsaan yang antara lain menyentuh aspek pampasan upah lebih lumayan dan kesejahteraan pekerjaan dilancarkan hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata kerangka dasar itu yang antaranya mengandungi tiga teras dan 11 strategi, dihasilkan selepas mengambil kira maklum balas pihak berkepentingan dan orang ramai melalui sesi libat urus, kumpulan tumpu bincang dan portal kaji selidik dalam talian.

“Kerangka dasar ini merangkumi isu penting berkaitan pekerja seperti pampasan upah yang lebih lumayan, kesejahteraan pekerjaan, gerakan kesatuan sekerja, ketidakpadanan pekerjaan dan tenaga kerja asing.

“Kerangka ini seterusnya akan menjadi panduan untuk menghasilkan Dasar Sumber Manusia Kebangsaan yang lengkap menjelang Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya semasa berucap pada Sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Sambutan bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut melancarkan Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan itu.

Turut hadir pada sambutan itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Menyentuh mengenai prakarsa atau ikhtiar kerajaan untuk menambah baik keadaan upah pekerja Malaysia, Sim berkata projek rintis Dasar Gaji Progresif yang dilaksanakan bersama Kementerian Ekonomi dijangka bermula Jun ini.

“Kerajaan MADANI telah memperuntukkan RM50 juta untuk projek rintis berkenaan dan dijangka 1.05 juta pekerja Malaysia akan mendapat manfaat menerusi pelaksanaan projek rintis itu,” katanya.

Kertas putih cadangan Dasar Gaji Progresif dibentangkan di Parlimen pada 30 Nov tahun lepas, antara lain menjadi satu daripada strategi kerajaan meningkatkan gaji penengah pekerja, sekali gus meningkat kadar bahagian pampasan pekerja dalam tempoh berbaki Rancangan Malaysia ke-12 dan 10 tahun akan datang.

Berkaitan perancangan Kementerian Sumber Manusia tahun ini, Sim berkata kementerian memperuntukkan RM2.56 juta bilion bagi tujuan penyediaan latihan kemahiran untuk rakyat Malaysia termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI), robotik, kemahiran dalam ekonomi hijau dan teknologi 5G. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas