Selebriti

NISHA DIRR Kini Sah Isteri Kerabat Selangor, TENGKU KAMIRUL RASHID

kini Nisha dan Kamirul say sebagai suami isteri
- Diterbit 10 Julai 2020 9:54 AM MYT

ALHAMDULILAH… Dengan sekali lafaz pelakon Nisha Dirr sah sebagai isteri kepada keturunan kerabat raja Selangor yang juga seorang ahli perniagaan, Tengku Kamirul Rashid Tengku Mohd Kamil,36.

Pasangan bahagia ini dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Ustaz Suhaimi  Ahmad Wakid di Pejabat Agama Islam Selangor, Shah Alam, petang ini. 

Nisha Dirr atau nama sebenarnya Nik Shahri’ah Nik Dir,37, meluahkan rasa syukurnya impian menjadi seorang isteri menjadi kenyataan walaupun masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). 

 

HAMPIR setahun bercinta, kini Nisha dan Kamirul sah sebagai suami isteri

“Alhamdulillah… semua berjalan dengan lancar dan segalanya dipermudahkan. Terima kasih kepada semua ahli keluarga saya dan mertua kerana menjadi tulang belakang dalam persiapan perkahwinan kami.

“Terima kasih juga kepada suami yang menerima saya seadanya. Saya kenal dia melalui seorang kawan hampir setahun yang lalu.

“Suami seorang yang baik hati, memahami dan kacak di mata saya. Apa yang penting, keluarga merestui hubungan kami,” katanya kepada Wilayahku. 

Nisha dan Kamirul tidak mahu bercinta lama-lama setelah kaum keluarga bersetuju mereka diijabkabulkan secepat mungkin. 

“Selepas beberapa bulan bercinta, kami terus mengambil keputusan untuk bernikah. Lagi pun keluarga kedua-dua belah pihak mahu kami percepatkan nikah.

“Pada asalnya kami mahu buat majlis merisik dan bertunang, tapi disebabkan PKP kami batalkan hasrat itu. Bagus jugak, boleh kami nikah terus,” katanya lagi. 

PASANGAN ini masih merancang destinasi berbulan madu memandangkan PKPP belum tamat

Nisha yang juga pengusaha produk Herbal Aura ini menerima mas kahwin sebanyak RM 300 berserta sebentuk cincin dan lima dulang hantaran berbalas lima.

Manakala wang hantaran pula dirahsiakan. 

Majlis resepsi yang bakal diraikan keluarga dan kenalan rapat pula akan diadakan esok di sebuah dewan di Cheras, Selangor. 

Wilayahku doakan agar Nisha dan Kamirul bahagia hingga ke anak cucu.

Sebelum ini Nisha Dirr popular menerusi drama bersiri Spa Q, Waris Kasih, Gendola Cinta Di Venice, Cinta FB dan banyak lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas