Berita

Bakal beri pulangan lumayan buat negara dan pelabur

NILAI ringgit berpotensi untuk mengalami kenaikan dalam nilainya pada masa hadapan. - Gambar hiasan
- Diterbit 26 April 2024 8:30 AM MYT

BANYAK manfaat yang diperolehi pelabur-pelabur yang melabur di Malaysia di samping mampu memberi tonik kepada ekonomi negara.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ia bersandarkan kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelabur antarabangsa mengiktiraf ketika ini adalah masa tepat untuk mengadakan pelaburan.

Katanya, pelbagai faktor boleh diambil kira berhubung dengan masa terbaik bagi melakukan pelaburan.

“Antaranya nilai ringgit yang mana ia dilihat terkurang nilai atau undervalued seperti yang dinyatakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Ini bererti nilai ringgit berpotensi untuk mengalami kenaikan dalam nilainya pada masa hadapan, apabila para pelabur yakin untuk melabur di negara,” katanya.

Tambah Mohd Afzanizam, secara matematiknya juga akan memberi pulangan yang lumayan kepada para pelabur.

“Apabila mereka membuat pelaburan pada masa kini, maka nilai yang bakal naik pada masa hadapan akan menyumbang kepada pulangan.

“Ia bakal membuatkan para pelabur tertarik untuk terus melakukan pelaburan di Malaysia,” ujarnya.

Malah, menurutnya lagi, aset-aset kewangan seperti bon dan juga saham rata-ratanya undervalued dan merupakan antara faktor menarik para pelabur untuk melakukan pelaburan di Malaysia kini.

Selain itu, jelas Mohd Afzanizam, perkara seperti dasar-dasar ekonomi negara yang konsisten juga menjadi rangsangan.

“Sudah pasti dengan perkongsian maklumat yang tepat serta dasar yang jelas dengan hala tujunya maka ia akan menarik mereka untuk datang ke Malaysia,” katanya.

Tambahnya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2024 kepada 4.4 peratus berbanding 4.3 peratus yang diunjurkan sebelum ini.

Jelasnya, Dalam Tinjauan Ekonomi Dunia April 2024, IMF masih mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar Malaysia sebanyak 4.4 peratus bagi 2025.

Katanya, institusi kewangan antarabangsa itu juga mengunjurkan kadar inflasi di negara ini pada paras 2.8 peratus bagi 2024 dan 2.5 peratus bagi tahun depan.

“Ini jelas meyakinkan lagi bahawa prestasi ekonomi negara berada dalam landasan tepat buat para pelabur terus melakukan pelaburan di Malaysia.

“Dengan ini, perkembangan ekonomi negara akan terus membangun dan berkembang sekali gus menarik lebih ramai pelabur asing di masa hadapan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Afzanizam turut memaklumkan, sekiranya ia membawa kepada prestasi pasaran kewangan yang cemerlang, maka ia akan menyumbang kepada pulangan pelaburan yang lebih baik kepada institusi-institusi tempatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas