Berita

MPM sasar sifar masalah klasifikasi

- Diterbit 26 April 2024 11:05 AM MYT

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) berhasrat untuk membasmi masalah klasifikasi bagi atlet paralimpik pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang berlangsung bermula 20 hingga 29 September ini di Kuching, Sarawak.

Menurut Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, hal berkenaan bertujuan untuk mengelakkan atlet daripada tidak dapat bertanding di temasya tersebut kerana masalah klasifikasi.

“Kita menyasarkan sifar masalah klasifikasi kerana mahu pastikan semasa temasya berlangsung tiada atlet yang tidak kesampaian untuk bertanding, jadi kita mahu semua atlet untuk melakukan klasifikasi di negeri masing-masing mengikut segala prosedur dan klasifikasi yang ditetapkan oleh ketua klasifikasi setiap negeri.

“Selain itu, kita tidak mahu membazir masa dan wang selain ingin memastikan hanya atlet yang layak sahaja untuk pergi ke Para SUKMA 2024,” ujar beliau selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Klasifikasi Kebangsaan MPM baru-baru ini.

Megat berkata proses klasifikasi tersebut dapat menaikkan martabat Sukan Para SUKMA seperti temasya sukan antarabangsa yang lain iaitu tiada klasifikasi dibuat semasa temasya berlangsung. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas