Berita

Tidak Niat Hina Pekebun, “Saya Pernah Jadi Kuli” – KHALID JAMLUS

KHALID Jamlus mengaku rasa bertuah apabila Wan Fayhsal mahu membantu dirinya untuk kehidupan yang lebih baik.
- Diterbit 10 Julai 2020 5:23 AM MYT

TULAR di laman sosial apabila bekas pemain bola sepak prolifik kebangsaan, Khalid Jamlus dikatakan kononnya memandang rendah terhadap pekebun pada sidang media Rabu lalu.

Hal ini tercetus apabila Khalid ditanyakan oleh pihak media adakah dirinya ditawarkan untuk menjadi jurulatih oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Fayhsal.

Khalid yang menjawab secara spontan ‘takkan jadi tukang kebun’ ini mencetuskan kontroversi walaupun niatnya hanya bergurau. Tiada niat lain semata-mata.

Namun, jawapan spontan itu disalahertikan oleh sesetengah netizen yang menuduh Khalid memandang rendah kepada tukang kebun. 

“Saya tidak pernah pandang rendah kepada tukang kebun. Saya pernah jadi kuli (pekerja bawahan) jadi tidak mungkin hendak menghina mana-mana pekerjaan.

Pertemuan secara rapat antara Khalid (tengah) dan Wan Fayhsal disaksikan oleh Noorul Ariffin pada sidang media Rabu lalu- Foto: Amin Farij Hassan

“Saya sendiri pernah bekerja sebagai pekerja kontraktor membuat jalan. Dalam cuaca panas terik lagi. 

“Tukang kebun pun lagi tinggi tarafnya kerana mempunyai gaji tetap dan lebih selamat, jika hendak dibandingkan dengan kerja saya ketika itu yang tiada pendapatan tetap serta berisiko mendapat bahaya.

“Sejujurnya, saya minta maaf jika ada yang terasa hati dengan jawapan spontan saya itu. Tiada apa-apa niat di sebalik apa yang saya sebutkan itu.

“Saya hanya menjawab secara spontan soalan yang diajukan oleh pihak media “Jauh sekali hendak menghina sesiapa. Tidak sama sekali,” katanya kepada Wilayahku. 

KHALID jugak meluahkan perkara sebenar di Facebook yang mendapat sokongan ramai yang memahami situasinya.

Khalid juga mengaku dirinya pernah jual air dari Kuala Lumpur ke Ipoh dan menjadi penghantar barang. Itu sudah cukup membuktikan dia tidak pernah menghina mana-mana pekerjaan.

Malah, tiada istilah pilih kerja dalam hidupnya asalkan pendapatan halal demi menyara keluarga. 

“Saya pernah lakukan macam-macam kerja tetapi tidaklah saya bercerita kepada semua orang. Biarlah saya sendiri sahaja yang tahu. 

” Saya ‘hadap’ apa sahaja demi meneruskan kehidupan. Jadi tidak timbul soal malas atau cuba meraih simpati. Saya berkunjung ke Pejabat Kementerian Belia dan Sukan juga atas jemputan YB Yang prihatin terhadap nasib saya.

“Orang yang kecam saya tidak tahu bagaimana saya sendiri melalui banyak dugaan untuk terus hidup. Orang tak kenal saya secara dekat boleh tuduh apa sahaja.

“Begitu juga dengan cara saya bercakap lebih kepada berterus-terang dan saya tidak pandai berlakon. Saya jadi diri saya.

” Di kesempatan ini saya meminta maaf sekali lagi jika ada yang terasa dengan kenyataan saya sebelum ini,” katanya yang tetap  mendapat kata-kata sokongan daripada Wan Fayhsal dan peminat.

Terdahulu, kisah kesusahan hidup Khalid Jamlus tular di laman sosial apabila dia melelong koleksi peribadinya termasuk kasut emas yang pernah dimenanginya. 

Sudah menjadi rezeki Khalid, apabila Wan Fayhsal menawarkan peluang yang bakal mengubah kehidupannya menjadi lebih baik. 

Bentuk peluang yang diberikan akan diumumkan tidak lama lagi. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas