Berita

MMU rangkul Anugerah Institusi

MAZLIHAM (berdiri, tiga dari kanan) bersama para pelajar dan kakitangan MMU meraikan kejayaan AKKPT 2023.
- Diterbit 22 Mac 2024 9:50 AM MYT

UNIVERSITI Multimedia (MMU) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Institusi Terbaik pada Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi (AKKPT) 2023 yang diadakan di Kuala Lumpur pada 8 Mac 2024.

Menurut Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud, kejayaan tersebut merupakan satu pencapaian yang sangat bermakna buat MMU kerana ia mengiktiraf usaha berterusan pihaknya dalam memperkasakan ekosistem keusahawanan yang kondusif dalam kalangan warga universiti dan komuniti.

“Pengiktirafan ini membuktikan program dan aktiviti keusahawanan seperti Program Entrepreneur Cadetship atau eCadet yang melibatkan para pelajar dan kakitangan MMU telah diakui berjaya melahirkan komuniti usahawan cemerlang untuk negara,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambahnya, pengiktirafan berprestij oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (MoHE) itu turut menjulang MMU sebagai Universiti Keusahawanan Terbaik di negara ini.

Mazliham berkata ia sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan MMU sebagai salah sebuah universiti terbaik di Malaysia dalam melahirkan graduan yang memiliki ilmu keusahawanan dan kebolehpasaran tinggi dalam pasaran kerja.

“ECadet adalah program latihan keusahawanan bagi memberikan pendedahan awal tentang budaya keusahawanan sejak mula pengajian para pelajar di MMU.

“Melalui program ini, mereka akan diberi bimbingan oleh usahawan-usahawan terkemuka yang telah berjaya dalam bidang masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Mazliham menyatakan penghargaan kepada Kementerian di atas anugerah tersebut yang menguatkan lagi komitmen berterusan MMU dalam menyediakan persekitaran pembelajaran terbaik untuk memastikan kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Senator Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

Terdahulu, dalam majlis yang sama, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut menerima anugerah yang sama bagi membolehkan UPSI dan MMU berkongsi hadiah utama RM250,000.

Diadakan setiap dua tahun, AKKPT bertujuan mengiktiraf inisiatif Institusi Pendidikan Tinggi dalam pembangunan dan pendidikan keusahawanan. Pencapaian ini menunjukkan komitmen institusi pengajian tinggi dalam memupuk semangat dan kemahiran keusahawanan di dalam kalangan komunitinya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas