Berita

Sedia ruang pelajar terokai TVET industri pembinaan

MOHD NAZRI (tiga dari kiri) bersama Abdul Rahman (lima dari kanan) selepas selesai menandatangani MoU di Sintok, Kedah.
- Diterbit 22 Mac 2024 9:45 AM MYT

DALAM usaha membantu kerajaan melahirkan lebih ramai barisan pelapis dalam kalangan belia, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara.

Rangka kerjasama tersebut bagi pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya dalam kalangan pelajar di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif ABM Wilayah Utara, Mohd Nazri Zakaria berkata antara langkah tersebut adalah usaha untuk menyediakan ruang dan peluang kepada golongan berkenaan mempelajari serta mendapat latihan kemahiran.

“Kerjasama itu melibatkan pembangunan program latihan kemahiran khusus untuk belia di bawah WP dalam bidang industri pembinaan serta penyediaan latihan kemahiran kepada pelajar-pelajar yang berminat dalam TVET Pembinaan.

“YWP selaku Syarikat Berhad Menurut Jaminan di bawah kerajaan Wilayah Persekutuan juga akan membantu menguar-uarkan program pengajian dan kursus latihan kepada pelajar-pelajar di Wilayah Persekutuan untuk mengikuti latihan dan membina kemahiran kursus di samping meneroka peluang kerjaya dalam bidang tersebut,” katanya.

Menurut Mohd Nazri, YWP juga akan bertindak membantu mencari dana serta menawarkannya kepada mana-mana pelajar di Wilayah Persekutuan untuk menjalani latihan di ABM.

“ABM mempunyai kampus yang lengkap dengan teknologi terkini seperti pendigital TVET pembinaan terletak di setiap wilayah seluruh negara. Latihan dan kemahiran yang disediakan akan membolehkan mereka mendapat dan meningkatkan kemahiran untuk memulakan pekerjaan.

“Pelatih (pelajar) yang berjaya menamatkan latihan dan kursus penilaian akan dianugerahkan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) dari Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (CIDB) Malaysia
yang mengiktiraf mereka sebagai pekerja mahir.

“Justeru itu, melalui kerjasama ini, YWP selaku pihak yang sering mendekati masyarakat khususnya para pelajar dapat membantu mereka mendapatkan latihan dan meningkatkan kemahiran dalam industri pembinaan,” katanya tempoh latihan di ABM sekurang-kurangnya satu bulan.

Dalam pada itu, Mohd Nazri berkata kedua-dua pihak sedang giat merancangkan beberapa program dan kursus dalam sektor pembinaan merangkumi 10 bidang program yang ditawarkan ABM antaranya latihan kompetensi struktur bangunan, Operasi Kren dan Jentera, Mekanikal dan Elektrikal, BIM, lukisan pelan seni bina, solar dan banyak lagi.

Terdahulu, pada 10 Mac, beliau menandatangani MoU bersama Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj sambil disaksikan oleh Pengurus Latihan ABM Utara di Sintok, Kedah.

Untuk rekod, ABM Wilayah Utara merupakan sebuah pusat latihan dan penilaian di bawah CIDB iaitu agensi di bawah Kementerian Kerja Raya Malaysia yang menyediakan program latihan dan penilaian kemahiran bertauliah dalam bidang TVET. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas