Berita

‘Salah tetap salah, saya sedar kesilapan saya’ … Ruhainies mohon maaf secara terbuka kepada Bella

- Diterbit 28 April 2024 3:29 PM MYT

“SALAH tetap salah. Saya mengaku kesilapan saya,” ujar Ruhainies.

 

Selepas melalui bermacam-macam episod, pelakon Ruhainies akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada  Bella Astillah atas kemelut yang berlaku.

Menerusi rancangan popular hiburan Melodi siaran TV3, Ruhainies atau nama lengkapnya Nur Ruhainies Fareha Zainul Ilyas, 32, juga  meluahkan rasa bersalah dan mengaku kesilapan yang telah dilakukan.

 

“Bukan semua benda saya boleh hurai di sini. Itu adalah khilaf. Cukuplah khilaf yang saya dah buat . Itu adalah kesilapan  yang besar.

 

“Cukuplah apa yang saya dah buat. Tak nak tambah lagi. Saya sedar kesilapan saya.

 

“Saya dah buat apa yang patut saya buat. Saya tahu saya di pihak yang salah. Daripada pihak Bella, dia ada hak untuk memaafkan atau tidak. Saya tak boleh memaksa. Kalau boleh cubalah satukan, saya pun tak tahu macam mana lagi nak pujuk.

 

Saya niat ikhlas untuk perbaiki hubungan dengan Bella dan semua pihak yang terlibat. Saya harap tiada lagi pihak yang cuba mengeruhkan keadaan yang sudah pun keruh,” katanya.

 

Ruhainies memberitahu dia bukan sengaja untuk tidak memberi kenyataan selepas apa yang berlaku, namun ada faktor-faktor ertentu yang menyebabkan dirinya tampil hari ini di rancangan Melodi.

 

“Saya memang tak nak ada perbalahan terutamanya dalam media sosial. Itu bukan jalan yang betul. Kalau ada masalah kita boleh jumpa. Bincang apa yang tidak puas hati.

 

“Saya tak nak jadikanya sebagai alasan tetapi itulah yang berlaku. Saya sibuk menghabiskan sisa-sisa drama. Kemudian saya ke Mekah selama dua minggu bila dah balik, saya pula kurang sihat.

 

“Saya fikir saya tak boleh tangguh lagi untuk beri kenyataan. Saya nak berdamai terutamanya dengan Bella Astillah. Saya tak nak ada apa-apa sengketa dengan Bella, dengan sesiapa pun.

 

“Saya ingin meminta maaf secara terbuka kepada Bella  Astillah, kepada semua yang terlibat dalam isu ini. Saya juga bersedia untuk bertemu dengan Bella, bersama-sama selesaikan masalah ini.

 

“Alasan kenapa baru sekarang saya tampil bukanlah sebab risau, saya dah berniat untuk tampil lama dah tapi saya menunggu masa yang sesuai.

 

“Isu ni terlalu panas. Saya tak nak  apa-apa kenyataan yang keluar dari mulut saya dimanipulasi, disalahfahamkan,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, Ruhainies akui ada beberapa kali menghubungi Bella tapi tidak berjawab. Namun, Ruhainies sedar bukan mudah apa yang dilalui Bella.

 

“Semasa situasi itu berlaku, saya masih dalam keadaan terkejut. Situasi ini pertama kali berlaku dalam hidup saya. Itu adalah satu bintik hitam yang  saya tak dapat lupa sampai bila-bila. Saya trauma.

 

“Beberapa hari selepas itu, Saya ada whatsap Bella, tapi tak reach.  Saya pun tak nak mendesak. Saya faham situasi dia sedang marah. Takkan nak terus paksa dia.

 

“Saya ada call juga.  Sudah tentulah Bella tak jawab. Masing-masing dalam keadaan emosi, termasuk juga saya,” tambahnya yang mahu berdamai dengan Bella dan mereka yang terlibat.

 

Pada awal Mac lalu Ruhainies dan Aliff ditangkap pihak berkuasa agama kerana disyaki berkhalwat di sebuah kondominium.

 

Susulan itu, Bella memfailkan penceraian dipercayai kerana tidak tahan dengan siri kecurangan Aliff. Dalam satu sidang media diadakan, Bella mendakwa dirinya dicurangi Aliff sebanyak 11 kali.

 

Antara wanita tersebut adalah Sarah. Sarah baru-baru ini memunculkan diri dengan mendakwa dia pernah menumpangkan Aliff di rumahnya selama sebulan.

 

Wanita itu turut mendakwa terkilan selepas membaca teks pesanan ringkas Ruhainies kepada Aliff yang berbau romantis.

 

Dia turut mendedahkan perancangan Ruhainies bersama Aliff untuk menjatuhkan Bella melalui tangkap layar kiriman mesej mereka berdua yang dimuat naik di Instagram miliknya. – WILAYAHKU

 

 

 

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas