Berita

Eilisha Rania fokus SUKMA 2024

EILISHA RANIA ketika beraksi dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Doha
- Diterbit 26 April 2024 10:26 AM MYT

JIKA tahun lepas penerjun muda, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj terpaksa melupakan sambutan Aidilfitri kerana sibuk dengan persiapan Sukan SEA di Kemboja, namun tahun ini dia sekali lagi terpaksa melupakan kemeriahan lebaran susulan kehilangan nenek tersayang pada 7 Februari lepas.

Atlet berusia 18 tahun itu berkata dia memilih untuk kekal di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil berbanding pulang ke kampung halaman di Kuching, Sarawak bagi menghilangkan rasa kosong yang membelenggu dirinya sejak pemergian arwah, Marina Allin pada usia 63 tahun.

Pemenang emas Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia 2023 itu mengakui sambutan Aidilfitri tahun ini tidak bermakna baginya selepas kehilangan tulang belakang yang banyak memberikan semangat kepadanya dalam arena sukan berkenaan.

“Ini kali kedua saya tidak sambut hari raya sebab tahun lepas saya fokus Sukan SEA manakala tahun ini tidak sambut sebab nenek baru meninggal jadi tidak berapa elok untuk sambut apa-apa perayaan.

“Saya dengan nenek sangat rapat kerana setiap kali balik Sarawak, saya pasti akan singgah rumah dia dahulu baru pulang ke rumah. Kalau saya dalam kejohanan atau kem latihan, dia selalu bertanya khabar jadi selepas dia meninggal dunia saya rasa kosong,” kongsinya.

Dalam masa sama, Eilisha turut melahirkan rasa terkilan kerana mereka tidak dapat bertemu buat kali terakhir dan mendapat perkhabaran duka ketika sedang menyertai Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.

“Saya sempat berjumpa dengan arwah pada November tahun lepas ketika pulang ke kampung. Saya pasti akan merindui kelazatan air tangan kek lumut yang dibakar dengan penuh kasih sayang selain bebelan dan nasihat daripada nenek,” ujarnya.

Enggan terus tenggelam dalam kedukaan, anak kepada bekas penerjun wanita Sarawak, Victory Emmy itu berkata dia kini fokus kepada persediaan untuk beraksi di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan berlangsung di Bumi Kenyalang pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Eilisha berkata untuk itu, dia akan meneruskan sesi latihan dengan jadual latihan yang sama.

“Bagi latihan SUKMA, jurulatih minta ikut jadual. Jadual saya waktu pagi adalah jalani rehabilitasi dan fisiologi selain latihan pada sebelah petang,” ujarnya yang turut bercita-cita untuk layak ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Di samping itu, Eilisha berkata berbekalkan semangat diberikan kedua ibu bapanya, dia tekad untuk bangkit dan mengharungi segala cabaran dalam arena sukan terjun negara pada masa hadapan.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas