Berita

15,000 bubur lambuk buat komuniti Putrajaya

FADLUN (tujuh dari kiri) bersama sebahagian petugas ketika memasak bubur lambuk di Kompleks Kejiranan Presint 9. Foto: FARIS AZMI/PPj
- Diterbit 22 Mac 2024 10:00 AM MYT

GOTONG-ROYONG. Sebanyak 15,000 bekas bubur lambuk diedarkan kepada komuniti setempat dan surau-surau di Putrajaya bersempena bulan Ramadan kali ini.

Program Bubur Lambuk Wilayah Persekutuan Putrajaya Bersama Komuniti yang diadakan pada 16 Mac lalu bertempat di Kompleks Kejiranan Presint 9 melibatkan seramai 450 peserta dan berjaya memasak sejumlah 25 periuk besar bubur lambuk secara bergotong-royong.

Acara tahunan anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) itu merupakan sebahagian daripada acara di bawah kalendar Program Bulan Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya, Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd (AFES) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Objektif program ini adalah bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama serta mengeratkan ukhuwah di antara agensi terutama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan PPj bersama-sama komuniti setempat.

Turut hadir Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas