Berita

Langkah Sheraton punca wujud dua kelompok UMNO

- Diterbit 23 Januari 2021 10:48 AM MYT

PERTEMBUNGAN dalaman UMNO hanya bermula selepas wujudnya dua kelompok yang berbeza pandangan terhadap hala tuju dan dasar parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) yang akan datang.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, polemik itu bermula selepas Langkah Sheraton yang menyaksikan UMNO memperoleh kuasa di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir kerajaan Persekutuan bersama BERSATU dan PAS.

“Sebagai sebuah kerajaan yang menerima kuasa semasa pandemik COVID-19 mula menular, PN telah memberikan banyak bantuan kepada rakyat dan berjaya mengekang gelombang pertama virus tersebut.

“Cuma apabila sudah lama sikit, bila dipenghujung kononnya akan berlaku PRU, disinilah mulanya berlaku perbezaan pandangan di peringkat dasar yang telah dipersetujui bersama oleh Muafakat Nasional (MN) dan prinsip PN iaitu’No Anwar’, ‘No DAP’ dan ‘No Tun Dr Mahathir’.

“Dengan pertembungan yang telah berlaku, banyak isu yang di beritahu mengenai hubungan UMNO dengan BERSATU sehingga ia hampir menjadi kemuncak sebelum Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah pada September 2020 yang lalu,” katanya dalam Program Bicara UMNO, Wind Of Change terbitan Astro Awani yang turut menampilkan Exco Pemuda UMNO, Mohd Nor Aizat Nor Azam dan di hoskan oleh, Nazri Kahar.

Program itu turut dipancarkan secara live menerusi Page Facebook Astro Awani malam tadi.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa itu menjelaskan ketika ini, satu kelompok di dalam UMNO sendiri yang berpandangan bahawa mereka hanya boleh menang sekiranya UMNO terus menjalinkan kerjasama politik melalui PN.

“Ada pihak yang merasakan bahawa UMNO perlu bersama dengan BERSATU dan PAS dan ini akan menjamin pertandingan satu lawan satu dan menjadi kemenangan yang lebih besar dalam PRU 15.

“Tetapi ada satu lagi kelompok berpandangan bahawa UMNO tidak perlu bekerjasama dengan BERSATU kerana berpandangan bahawa mereka boleh bertanding secara bersendiri atau solo kerana telah memenangi kerusi yang banyak,” katanya.

Malah beliau turut mendakwa bahawa ada kelompok di dalam parti itu yang sudah tidak tahan untuk meneruskan kerjasama dengan BERSATU bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

“Mereka merasakan bahawa UMNO boleh menghadapi pilihanraya secara solo atau bersendirian. Ataupun mencari rakan baharu iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

“Malah ada kelompok di dalam UMNO yang sedang mengusahakan jajaran politik baharu bersama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP yang ia secara jelas melanggar dasar yang telah ditetapkan dan dipersetujui sebelum ini dan ini menyebabkan perpecahan itu semakin ketara,” katanya.

Menurutnya, beliau melihat usaha segelintir pemimpin parti untuk menyokong Anwar telah ditolak oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

“Apabila ditolak oleh Ahli Parlimen BN, maka mereka usaha membawa kedalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan turut di tolak pada malam yang sama,” katanya.

Beliau berkata, usaha untuk menolak kerjasama dengan BERSATU berlaku secara berterusan sehingga di bawa ke dalam persidangan dan mesyuarat-mesyuarat bahagian UMNO baru-baru ini.

“Mereka telah menguar-uarkan sebelum ini sebanyak 189 bahagian yang menolak usul untuk bekerjasama dengan BERSATU.

“Akhirnya kita dapat tahu bahawa ia (usul tolak kerjasama dengan BERSATU) kurangdari 100 bahagian dan dari situ saya lihat majoriti dalam UMNO masih berpandangan bahawa kerjasama dengan BERSATU itu masih perlu diperlukan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas