Berita

TOP 5 FILEM AKSI TERHANGAT MALAYSIA

|||||
- Diterbit 23 Januari 2021 4:29 AM MYT

INDUSTRI filem tanah air semakin mendapat sambutan yang memberangsangkan sejak beberapa tahun yang lalu.

Filem aksi di Malaysia bukan sahaja diminati oleh rakyat negara ini tetapi juga di serata Asia Tenggara.

Paparan seni mempertahankan diri yang dipamerkan dalam beberapa filem aksi ini sekaligus dapat mengangkat nama Malaysia ke persada antarabangsa.

Berikut adalah antara filem aksi paling hangat Malaysia yang penuh dengan adrenalin dan pengajaran tentang kehidupan.

#1 Bunohan | 16+

Arahan: Dain Iskandar Said
Lakonan:
Faizal Hussein
Zahiril Adzim
Pekin Ibrahim
Bront Palarae
Nam Ron

Filem ini menceritakan tentang tiga adik-beradik yang terasing iaitu Adil (Zahiril Adzim), Bakar (Pekin Ibrahim) dan Ilham (Faizal Hussein) serta bapa mereka yang uzur. Adil ‘Bunga Lalang’, seorang peninju tomoi, melarikan diri daripada pertarungan maut lalu menjadikannya seorang pelarian daripada penganjur pertarungan tersebut. Ilham, seorang pembunuh upahan telah dihantar untuk memburu Adil. Pemburuan tersebut telah membawa mereka berdua ke sebuah kampung bernama Bunohan. Ketika mereka bertembung, segala memori hitam muncul kembali. Mereka juga bertemu dengan Bakar, seorang guru dan usahawan berjaya. Kehadiran mereka bertiga mula membangkitkan kisah silam ayah mereka, Pok Heng (Wan Hanafi Su). Mereka bertiga bergelut dengan bayangan kegelapan dan segala memori silam kembali membayangi hidup mereka. Segala keperitan mereka bermula di BUNOHAN.

Trivia:
Pemenang Lakon Layar Terbaik di Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2013.

#2 Geran | 16+

Arahan: Areel Abu Bakar
Lakonan:
Namron
Khoharullah
Feiyna Tajudin
Fad Anuar
Azlan Komeng

Filem ini mengisahkan tentang dua sahabat baik, Pak Nayan (Namron) dan Haji Daud (Faizal Hussein) yang berguru dalam ilmu persilatan. Mereka kemudiannya bersengketa dan berdendam kerana sejarah yang tidak boleh dilupakan antara mereka. Anak-anak Pak Nayan juga terlibat ke dalam situasi rumit kerana itu. Ali (Khoharullah) dan Fatimah (Feiyna Tajudin) kecewa dan kesal dengan sikap adik mereka, Mat Arip (Fad Anuar) yang tidak membawa pulang geran tanah pusaka. Ali, sebagai abang sulung kemudiannya bertanggungjawab untuk mencari Mat Arip dan membawanya pulang ke ayah mereka, Pak Nayan. Ini semua supaya nama dan tanah rumah mereka tidak tergadai dan tercela.

Trivia:
Mempamerkan silat seni Pusaka Gayong dan tidak menggunakan pelagak ngeri kerana pelakonnya berpengalaman dalam silat.

#3 Fly By Night/Sebelum Pagi Berakhir | 16+

Arahan: Zahir Omar
Lakonan:
Sunny Pang
Bront Palarae
Jack Tan
Ruby Yap
Frederick Lee

Filem drama jenayah ini berkisar tentang empat orang pemandu teksi di Kuala Lumpur yang terlibat dengan kegiatan memeras ugut penumpang yang kaya. Modus operandi mereka dilaksanakan tanpa cacat cela dengan mengambil penumpang dari lapangan terbang. Tai Lo (Sunny Pang) dan Sai Lo (Fabian Loo) adalah adik-beradik yang banyak berhutang. Situasi menjadi lebih tegang apabila Sai Lo mula bekerjasama dengan seorang mangsa yang ingin mengugut kekasihnya yang curang. Dalam pada itu, Inspektor Kamal (Bront Palarae) dan kumpulan geng mula mengejar mereka. Dapatkah mereka mencari jalan keluar?

Trivia:
Tayangan perdana di Festival Filem Antarabangsa Busan ke – 23 pada Oktober 2018 dan merupakan filem debut pengarah Zahir Omar.

#4 Crossroads: One Two Jaga | 16+

Arahan: Nam Ron
Lakonan:
Zahiril Adzim
Amerul Affendi
Ario Bayu
Asmara Abigail
Bront Palarae

Novel adaptasi filem ini mengisahkan tentang dua anggota polis, Hussein (Zahiril Adzim) dan Hassan (Rosdeen Suboh) serta seorang pekerja tanpa izin (PATI) dari Indonesia, Sugiman (Ario Bayu). Huessin, seorang anggota baru ditugaskan bersama Hassan yang sering mengambil rasuah ketika bertugas. Sugiman pula berusaha untuk menghantar semula adiknya, Sumiati (Asmara Abigail) pulang ke tempat asal mereka. Kisah yang sarat dengan pengajaran tentang sisi gelap anggota polis yang tidak amanah dan terlibat dengan kegiatan jenayah. Berjayakah rancangan Sugiman untuk menghantar semula Sumiyati?

Trivia:
Pemenang Lakon Layar Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-30. Skrip filem ini juga pernah dua kali ditolak oleh bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.

#5 Wira | 16+

Arahan: Adrian Teh
Lakonan:
Hairul Azreen
Fify Azmi
Ismi Melinda
Henley Hii

Filem aksi pecah panggung ini menceritakan tentang Hassan (Hairul Azreen), seorang bekas tentera yang pergi membawa diri dari keluarganya sejak kecil. Dia ingin membawa keluarganya keluar dari kawasan tempat tinggal mereka yang dikuasai oleh seorang taikun iaitu Raja (Dain Said). Mengetahui bahawa keluarganya berhutang dengan Raja, dia pergi membawa Zain (Fify Azmi), adiknya untuk menyelesaikan masalah itu. Raja menetapkan satu pertarungan di antara Hassan dan Zain menentang anak-anak Raja iaitu Vee (Ismi Melinda) dan Rayyan (Josiah Hogan). Pertarungan ini akan menentukan hidup dan mati mereka untuk keluar dari kehidupan yang gelap.

Trivia:
Berjaya mengutip kutipan sebanyak RM2.2 juta dalam masa empat hari sejak ditayangkan.

-AFIFAH AFIZAL – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas