Biz

Bunga sabun kembali dapat sambutan di pasaran

BUNGA sabun yang dihasilkan mampu bertahan lebih dua tahun
- Diterbit 26 April 2024 10:00 AM MYT

BERMULA sekadar mengisi masa lapang, kini Suria Budin, 49, menjadikan hobi gubahan bunga untuk menjana pendapatan yang memuaskan.

“Dulu ketika suami pergi bekerja, saya gunakan masa terluang melakukan kerja-kerja menjahit tapi sejak 2018, saya beralih mempelajari cara membuat bunga menggunakan sabun kerana saya pernah melihat ibu saya membuatnya,” ujar suri rumah ini.

Menurutnya lagi, di awal percubaan, banyak bunga yang tidak menjadi namun, lama kelamaan usahanya berhasil. Malah, ada rakan yang memuji hasil gubahannya nampak seperti bunga hidup.

Jelas Suria, keistimewaan bunga yang diperbuat daripada sabun itu ialah ia berbau wangi dan mampu bertahan lama berbanding bunga hidup yang mudah layu.

Bahan penyediaan untuk membuatnya juga cukup mudah kerana hanya memerlukan sabun buku, air, tepung jagung, gam, putik kapas dan dawai.

“Sabun akan diparut sebelum dikisar menjadi seperti tepung dan semua bahan akan dicampur hingga menjadi doh. Saya juga letak sedikit bahan rahsia yang dibeli dari luar negara untuk mengukuhkan struktur dan mewangikan bunga sabun ini.

“Biasanya, proses menguli doh memakan masa sehingga empat jam, jadi anak-anak dan suami selalu membantu. Sementara doh direhatkan, saya akan mula melakar gubahan bunga di atas kertas mengikut bunga yang dimahukan pelanggan manakala keluarga membantu memasang wayar di putik kapas,” ujar ibu kepada dua anak perempuan berumur 14 dan 20 tahun ini.

Tempoh untuk menyiapkan sesebuah gubahan bergantung kepada saiz serta jumlah bunga. Jika gubahan kecil, ia mampu disiapkan dalam tempoh antara tujuh hingga 14 hari manakala gubahan besar boleh memakan masa sehingga sebulan.

Manakala modal untuk gubahan kecil dan besar juga berbeza. Kos juga bergantung kepada bentuk, jenis dan jumlah kuntuman bunga yang pelanggan mahukan.

“Jenis bunga yang paling banyak mendapat permintaan pula ialah bunga ros merah dan ranunculus. Harga jualan biasanya antara RM500 hingga RM1,500 tetapi ada tempahan yang saya pernah jual hampir mencecah RM2,000,” ujarnya.

Selain daripada pembeli yang membeli untuk menghias rumah masing-masing, Suria turut mendapat tempahan daripada pasangan pengantin yang mahukan bunga sabun bagi majlis perkahwinan mereka.

“Dahulu, memang ramai yang tempah bunga sabun untuk majlis perkahwinan tetapi semakin lama ia tidak mendapat sambutan kerana orang lebih gemarkan bunga hidup.

“Memandangkan bunga sabun ini mampu bertahan lebih lama berbanding bunga hidup, mungkin sebab itu ia kembali mendapat sambutan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas