Berita

Pemimpin lama punca kurang sambutan golongan muda

||
- Diterbit 23 Januari 2021 2:21 PM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY

 

KEGUSARAN beberapa Ketua Pemuda UMNO Bahagian yang mempersoalkan imej kepimpinan UMNO yang masih di barisi wajah sama sejak sekian lama adalah berasas.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sebagai sebuah parti yang mempunyai sejarah panjang dalam negara ini, UMNO sewajarnya berani untuk membuat perubahan terhadap sistem penggantian dan pemilihan dalam UMNO bagi mendapatkan kepimpinan pelapis yang baharu agar parti sentiasa relevan dalam politik Malaysia.

“Keseluruhan wajah UMNO pada hari ini menjadi tidak menarik pada pandangan orang muda kerana dibarisi muka yang sama dan ia sudah begitu lama.

“Muka-muka lama itu juga telah berada di dalam kepimpinan peringkat Bahagian, Negeri dan Pusat,” katanya dalam Program Bicara UMNO, Wind Of Change terbitan Astro Awani malam tadi.

Katanya, apabila kita melihat kepada kepimpinan pemuda, ia mempunyai had sehingga 40 tahun sahaja.

“Apabila sudah mencapai had umur tersebut, mahu atau tidak, mereka terpaksa mencari pengganti dan begitu juga dengan puteri.

“Maka calon Ketua Pemuda Bahagian adalah dari muka yang baharu dan mereka merupakan pelapis yang telah dilatih untuk mengisi kepimpinan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, sebaliknya perkara itu tidak berlaku pada peringkat jawatan Naib Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian (TKB), Ketua Bahagian (KB).

“Malah ia juga tidak berlaku pada peringkat Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Masalah tersebut timbul apabila parti tidak mempunyai had dan ia akan berpanjangan sehingga menyebabkan orang muda tidak boleh kehadapan,” katanya.

Jelas Tun Faisal, sebagai contoh, beliau yang kini menyandang jawatan TKB dan boleh mempertahankan jawatan itu mungkin sehingga lima atau enam penggal.

“Sekiranya saya mahu kekal malah tidak mahu ‘graduate’ pun, dan sepatutnya sebagai penyandang jawatan TKB, seeloknya paling lama pegangglah jawatan tersebut untuk tiga penggal sahaja atau ia hampir 10 tahun.

“Sekiranya dalam tempoh tersebut, saya tidak boleh untuk menjadi Ketua Bahagian, maksudnya lebih baik saya serahkan jawatan tersebut dan bina pelapis baharu yang terdiri dalam kalangan orang muda,” katanya.

Katanya, disebabkan perkara itu, suara Pemuda yang bercakap tentang perubahan kepimpinan dan ia di sebut sebagai Wind Of change, ia bermaksud dalam proses membuat keputusan dalam parti, Pemuda sudah memulakan.

“Pemuda mahu parti ini tidak lagi ditentukan secara 100 peratus oleh kepimpinan tertinggi kerana mereka juga mempunyai ‘stake’.

“Sebab itu mereka mula bercakap dan ia ada asas setelah mereka melihat bahawa parti ini perlu berhadapan dengan pilihanraya umum yang akan datang dan ia tidak lagi diminati oleh golongan muda di bawah 40 tahun hingga 50 tahun,” katanya.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa itu berkata, pemuda melihat parti ini banyak di pimpin oleh muka-muka lama sahaja.

“Mereka melihat perlu ada satu perubahan dan pembaharuan dan suara-suara inilah sedang dibawa walaupun ia minoriti dan masih di dalam cetusan kecil, tetapi kepimpinan mesti memberi perhatian sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, cabaran besar yang perlu dihadapi oleh UMNO apabila berhadapan dengan anak-anak muda yang tidak berpegang kepada ideologi.

“Dahulu pegangan paling kuat terhadap UMNO adalah falsafah politiknya, tapi sekarang anak muda dah tengok perkara lain.

“Sekiranya parti ini tidak boleh menarik minat anak muda, golongan antara 40 hingga 50 tahun , maka perlu ada satu perubahan yang sedang di bawa oleh suara-suara pemuda yang kita dengari sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Tun Faisal menyarankan agar UMNO perlu berani bereksperimen dan mencari kaedah untuk meremajakan parti,

“Ini termasuklah keputusan-keputusan yang saya sendiri tidak faham sebagai contoh, jawatan Senator sepatutnya menjadi medan untuk membentuk pemimpin pelapis dari golongan muda.

“Tetapi saya tidak boleh memahami apabila kepimpinan UMNO membuat keputusan mengambil orang yang telah berumur 70 tahun ke atas dan di letakkan di kerusi Senator.

“Apabila tidak ada had memegang sesuatu jawatan, atau ada sesuatu kaedah, ia boleh menyebabkan proses pembentukan kepimpinan lapisan baharu tiada hingga akhirnya UMNO mennjadi tidak menarik pada pandangan mata orang-orang tertentu,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas