Berita

Labuan sedia beralih ke Fasa Tiga PPN

LABUAN sedia beralih ke fasa 3 PPN pada bila-bila masa selepas mencapai 80 peratus
- Diterbit 1 Ogos 2021 1:00 AM MYT

KEMAJUAN positif kadar vaksinasi Labuan sebanyak 80 peratus bakal menyaksikan pulau bebas cukai itu boleh beralih ke Fasa Tiga di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada bila-bila masa minggu depan.

Senator Datuk Bashir Alias berkata, kadar vaksinasi (bagi dos kedua) sudah meliputi sejumlah 54,800 orang daripada 68,500 populasi dewasa dan dicapai lebih awal daripada tarikh yang disasarkan iaitu pada 30 Julai.

“Ini bermakna Labuan telah mencapai sasaran vaksinasi untuk beralih ke fasa seterusnya dan kami optimis ia berada di landasan yang betul ke arah mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Bashir berkata, justeru itu penduduk Labuan perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan meskipun sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka.

“Nasihat saya kepada komuniti perniagaan ialah terus mematuhi SOP dan hentikan sikap acuh tak acuh kerana kita perlu bersama-sama mengekalkan momentum yang baik ini dalam usaha menangani kes-kes COVID-19,” katanya.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Mohd Dzulfaizal Ab Manan pula berkata, sukarelawan daripada PriVo (koordinator bagi pelaksanaan vaksinasi secara jumpa terus dan pandu lalu) akan terus memainkan peranan dalam Program Imunisasi COVID-19 Labuan.

“Kami akan menggerakkan pasukan kami ke kampung-kampung melalui pelaksanaan vaksinasi dari rumah ke rumah bagi mengenal pasti penduduk yang belum divaksin dalam usaha mencapai sasaran tiada sesiap pun yang terpinggir.

“Kami percaya masih terdapat sebilangan kecil penduduk yang enggan mendapatkan vaksin atas alasan yang tidak diketahui, kami perlu memahamkan mereka mengenai kepentingan mendapatkan vaksinasi bagi mengelak jangkitan COVID-19,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas