Berita

Lindungilah kanak-kanak sebaiknya

MASYARAKAT perlu membina persekitaran selamat untuk kanak-kanak
- Diterbit 26 April 2024 10:20 AM MYT

SEJUMLAH 7,520 orang kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan pada tahun 2023 sekali gus menyaksikan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak semakin meningkat dan mendapat liputan meluas di media massa, elektronik serta media sosial.

Justeru itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melancarkan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya amat prihatin dengan isu-isu keselamatan kanak-kanak khususnya penderaan dan pengabaian terhadap golongan cilik itu.

“Hal ini kerana kanak-kanak merupakan aset penting yang bakal mencorak masa hadapan negara.

“Berdasarkan statistik JKM, pada tahun 2022 Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan iaitu seramai 302 kepada 405 orang kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan pada tahun 2023,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Nancy berkata menerusi program ini ia merupakan usaha berterusan kementerian dalam menggerakkan semua anggota masyarakat agar bersama melindungi dan membina persekitaran selamat untuk kanak-kanak.

“Program ini menjadi platform kepada masyarakat setempat khususnya guru-guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat untuk berperanan dalam membantu KPWKM mencegah berlakunya peningkatan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

“KPWKM akan meneruskan pelaksanaan program advokasi ini di sekolah seluruh negara serta akan mengadakan kerjasama rentas kementerian bagi memastikan impak optimum bagi inisiatif yang dijalankan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nancy berkata JKM melalui Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) dalam proses menaik taraf Sistem eDKK kepada sistem bersepadu yang akan dinamakan sebagai Sistem Perkhidmatan Kanak-Kanak (Sistem ANAK). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas