Berita

JOM LAYAN 4 FILEM SEMPENA OLIMPIK

||||
- Diterbit 1 Ogos 2021 2:00 AM MYT

SALAM sukan buat semua pembaca Wilayahku! Bulan ini pastinya kita sedang merasai kehangatan Olimpik Tokyo yang bermula pada 23 Julai lalu. Malaysia turut tidak ketinggalan mengambil bahagian dengan menghantar wakil dalam beberapa acara di sana.

Umum mengetahui sukan mampu menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia. Lihat sahajalah sewaktu perlawanan Lee Chong Wei menentang Lin Dan semua individu tanpa mengira kaum bersorak apabila Lee Chong Wei memperoleh kemenangan buat Malaysia.

Sewaktu perlawanan bola sepak juga kedai mamak akan menjadi riuh dengan sorakan apabila Harimau Malaya berjaya menjaringkan gol. Pelbagai nilai positif juga dapat diterapkan melalui bersukan.

Oleh itu, edisi kali ini, Wilayahku menyenaraikan empat filem sukan yang boleh ditonton di Netflix! Jangan lupa untuk terus menyokong atlet kita di Olimpik Tokyo.

#1 Invictus

Pengarah: Clint Eastwood
Pelakon: Morgan Freeman, Matt Damon

INVICTUS adalah sebuah filem berdasarkan peristiwa sebenar di Afrika Selatan sebelum dan semasa Piala Dunia Rugby 1995, yang diadakan di negara itu setelah pasca-apartheid. Nelson Mandela, seorang presiden yang dilantik, berjanji akan menjadikan Afrika Selatan sebagai sebuah negara yang baru tanpa perpecahan kaum. Meskipun rejim apartheid sudah tamat, namun benih perpecahan antara orang kulit hitam dan orang kulit putih di Afrika Selatan masih wujud. Dia percaya bahawa sukan adalah cara untuk menyatukan semua orang Afrika Selatan. Mandela kemudian mengajak orang Afrika Selatan berkulit hitam untuk bergabung dalam menyokong pasukan rugbi Springbooks, yang dibenci oleh orang kulit hitam Afrika Selatan. Mandela berharap dengan sokongan penuh dari semua orang Afrika Selatan, Springbooks berpeluang untuk mengalahkan pasukan kegemaran New Zealand dalam Piala Dunia Rugby yang dijadualkan diadakan di Afrika Selatan tidak lama lagi. Dan hasilnya, pasukan Springboks yang dipimpin oleh Francois Pienaar (Matt Damon) berjaya mengalahkan pasukan New Zealand 15-12 pada pusingan akhir dan membawa pasukan dengan seragam hijau untuk menjadi juara. Ramai yang berpendapat bahawa acara sukan ini adalah langkah terbesar dalam menyatukan orang kulit hitam dan putih di Afrika Selatan.

#2 Dangal

Pengarah: Nitesh Tiwari
Pelakon: Aamir Khan, Fatima Sana Shaikh, Sanya Malhotra

DIANGKAT berdasarkan kisah seorang ahli gusti profesional dari India, Mahavir Singh Phogat. Filem yang penuh dengan pengajaran, isu keluarga dan semangat juang yang tinggi ini mengisahkan kisah Mahavir Singh Phogat (Aamir Khan) seorang bekas ahli gusti yang pernah memenangi pingat perak. Beliau telah berjanji dan nekad untuk dapatkan pingat emas dengan melatih gusti kepada anak lelaki. Namun, ianya tidak menjadi kenyataan apabila mereka dikurniakan empat orang anak perempuan. Mahavir tidak berputus asa apabila dia menyedari anak perempuannya turut mempunyai bakat dalam bergusti dan terus membuat keputusan untuk melatih anaknya, Geeta dan Babita. Pada awal pembabitan Geeta dan Babita mendapat bantahan dan tohmahan daripada masyarakat tetapi Mahavir membuktikan bahawa pendapat mereka adalah tidak benar. Atas usaha Mahavir yang gigih, Geeta dan Babita telah berjaya mewakili India dalam arena gusti ke peringkat antarabangsa dan Geeta menjadi wanita India yang pertama memenangi pingat emas, manakala kakaknya meraih medal perak di kejuaraan tinju Komanwel. Kisah kejayaan mereka telah dicatat pada acara Komanwel tahun 2010.

#3 Suatu Ketika – Langitkan Impianmu

Pengarah: Prakash Murugiah
Pelakon: Namron, Pekin Ibrahim

BERLATARKAN era sebelum merdeka tahun 1952, Suatu Ketika mengisahkan semangat juang 12 orang kanak-kanak sekolah kampung menentang pelajar sekolah British dalam pertandingan bola sepak. Biarpun mempunyai masalah kesihatan, perkara itu tidak menghalang impian seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang mencuba sedaya upaya untuk menubuhkan sebuah pasukan bola sepak bersama seorang tukang kebun dan guru. Mereka perlu bersaing dengan pasukan dari sekolah berprestij British, St James, untuk layak ke perlawanan “JG Davidson Cup”. Pelbagai kejadian menarik berlaku dimana ia pasti akan membuatkan anda terpaku untuk menyaksikan perjalanan kumpulan bola sepak dari Sekolah Ujong Pasir sewaktu bersaing untuk menjadi sekolah melayu pertama layak ke pertandingan akhir kejohanan ini. Naskah hebat ini juga berjaya membangkitkan sikap patriotik dengan memaparkan ketuanan British yang berada di Tanah Melayu pada zaman sebelum merdeka dan bagaimana maruah kita direndah-rendahkan di negara kita sendiri. Filem ini juga mengetahkan perpaduan apabila 12 orang kanak-kanak yang terdiri daripada pelbagai kaum berjuang demi memperoleh kemenangan. Turut mempunyai elemen kekeluargaan, nilai persahabatan, kecintaan kepada keamanan dan perpaduan serta paling penting keyakinan terhadap diri sendiri yang digarap dengan baik menjadikan filem Melayu ini antara yang cemerlang dari sudut isi, gaya dan cara penyampaiannya.

#4 To the Fore 

Pengarah: Dante Lam
Pelakon: Eddie Peng, Choi Si-Won, Shawn Dou

BAGI penggemar sukan berbasikal, filem To the Fore antara filem yang wajib ditonton. Mengisahkan tiga penunggang basikal lumba, Jiwon (Choi Siwon), Ming (Eddie Peng) dan Tian (Shawan Dou) dalam  pasukan lumba basikal Radiant. Jiwon seorang atlet yang unggul dengan sikap dan tindakan yang matang manakala Ming adalah atlet baru yang sangat bertenaga dan Tian juga tidak kurang hebatnya, mempunyai stamina yang tinggi tetapi tenaganya tidak sekuat Jiwon dan Ming. Di bawah kepimpinan jurulatih Radiant, mereka bertiga menjadikan pasukan Radiant pasukan unggul yang mampu menyaingi pasukan terkuat, Phantom. Namun, di kemuncak kegemilangan Radiant, penaja utama mereka menarik diri. Jiwon, Tian dan Ming kemudian ditawarkan untuk bergabung dengan pasukan berbasikal yang lain, menjadikan mereka bertiga saling bersaing dalam posisi yang sama iaitu Sprinter! Cabaran demi cabaran terpaksa dihadapi mereka dalam mengejar kemenangan sehingga berlakunya satu konfik yang akhirnya menyatukan mereka bertiga kembali sebagai satu pasukan. Filem ini mempunyai implikasi yang kuat untuk membuat penonton jatuh cinta dengan berbasikal dan membuat penggemar basikal kembali bersemangat. Menyeronokkan, mendebarkan, penuh strategi, dan bergaya menjadikan filem ini sangat menarik. Walaupun dikuasai oleh drama kehidupan penunggang basikal di bawah tekanan persaingan yang melampau, To The Fore turut mempunyai unsur komedi serta kisah romantis yang mencetuskan cinta segi tiga antara Ming dan Tian.

-WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas