Berita

Pengorbanan frontliners dihargai

WAKIL Angkatan Pertahanan Awam Labuan menerima kit makanan daripada MarryBrown Labuan.
- Diterbit 1 Ogos 2021 1:00 AM MYT

PENGORBANAN petugas barisan hadapan yang sentiasa komited dalam memerangi penularan wabak COVID-19 khususnya di Labuan harus dihargai oleh semua pihak, kata Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussien.

Beliau berkata, kita perlu menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang telah berkorban masa dan tenaga dalam memastikan penularan jangkitan COVID-19 dapat dikawal.

“Pengorbanan dan komitmen yang tinggi para petugas barisan hadapan dalam mengekang penularan jangkitan COVID-19 di Wilayah Persekutuan Labuan wajar dihargai oleh semua pihak,” katanya.

SIMBOLIK penyerahan kit makanan yang disampaikan oleh Hjh Rokiah Hj Ismail Wakil MarryBrown Labuan kepada Datuk Seri Amir Hussien Pengerusi Perbadanan Labuan.

Jelas Amir lagi, kerjasama dari masyarakat setempat juga memainkan peranan penting dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan penularan wabak itu dapat dikekang daripada terus merebak didalam komuniti.

“Warga Labuan secara keseluruhannya telah memberikan kerjasama dengan mematuhi SOP dalam menjayakan sasaran kerajaan untuk menstabilkan kes COVID-19 di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Saya ucapkan terima kasih dan syabas kepada seluruh warga Labuan kerana bersama-sama berjuang mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Dengan adanya semangat sebegini, kita mampu menangani pelbagai cabaran dan rintangan bersama-sama dalam memastikan Labuan menuju ke arah sebuah pulau bebas dari wabak itu,” katanya lagi.

Terdahulu, Datuk Seri Amir Hussien dengan kerjasama Syarikat MarryBrown telah menyampaikan sumbangan kit makanan kepada hampir 500 petugas barisan hadapan di Labuan.

Simbolik penyerahan itu diadakan di Bangunan Menara PL pada Sabtu lalu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan Rithuan Mohd Ismail, Pengarah Jabatan Kesihatan W.P Labuan Dr Ismuni Bohari, Wakil MarryBrown Labuan Rokiah Ismail. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas