Berita

Koop Sahabat tawar hotel untuk Pusat Transit Sementara

- Diterbit 27 Mac 2020 9:15 AM MYT

PUTRAJAYA – Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) melalui anak syarikat milik penuhnya Carlton Hotel Sdn. Bhd. menawarkan Hotel Carlton Shah Alam, Selangor yang terletak di Seksyen 13 sebagai Pusat Transit Sementara kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengerusi Koop Sahabat, Mohd. Najib Mohd. Noor berkata, Koop Sahabat selaku sebahagian daripada ekosistem pemerkasaan ekonomi golongan B40 terpanggil untuk menyatakan sokongan terhadap petugas-petugas KKM yang terlibat secara langsung dalam menangani virus Covid-19.

“Perjuangan yang digalas petugas barisan hadapan ini merupakan sebuah pengorbanan yang sangat murni dan merupakan wira bagi rakyat Malaysia.

“Sebagai menzahirkan penghargaan, Hotel Carlton Shah Alam yang menyediakan 80 bilik penginapan ditawarkan secara percuma kepada segenap lapisan petugas KKM sebagai memenuhi tanggungjawab sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas tentang ahlinya pula, Mohd. Najib memberitahu, 223, 000 orang anggotanya yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diberikan beberapa inisiatif dan ia merupakan sebahagian dari Pakej Ransangan Ekonomi yang diumumkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berjumlah RM682.3 juta.

Jelasnya, inisiatif tersebut adalah penangguhan bayaran ansuran pembiayaan i-Lestari dan i-Usahawan Koop Sahabat selama tiga bulan yang melibatkan 400 peminjam berjumlah RM300,000 sebulan.

“Penangguhan aktiviti Lelongan Sahabat Ar Rahnu yang melibatkan 1,500 peminjam atau pencagar berjumlah RM120,000 sehingga tamat tempoh PKP.

“Pengagihan Zakat Perniagaan Koop Sahabat berjumlah RM646,000 melibatkan 2,584 orang anggota dalam kalangan asnaf yang layak,” katanya sambil menambah Koop Sahabat sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan dan mendoakan agar semua anggota dapat kembali menjalankan aktiviti perniagaan mereka seperti biasa. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas