Berita

4 juta golongan M40 diberi tunai RM1,600

GOLONGAN peniaga kecil yang terjejas akibat wabak Covid-19 turut akan menerima bantuan. Gambar hiasan
- Diterbit 27 Mac 2020 9:26 AM MYT

PUTRAJAYA – Golongan pendapatan isi rumah pertengahan (M40) turut mendapat perhatian kerajaan apabila mereka akan menikmati pemberian tunai one-off melalui Bantuan Prihatin Nasional dengan peruntukan hampir RM10 bilion.

Bantuan kali pertama diperkenalkan itu menyaksikan kumpulan M40 dan ke bawah termasuk pekerja swasta, peneroka FELDA, petani, nelayan, peniaga kecil turut mendapat pembelaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi ekoran wabak Covid-19 berkata, sebanyak empat juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah bakal mendapat tunai RM1,600 dengan RM1,000 dibayar pada April ini manakala baki RM600, Mei depan.

Kedua: Pemberian RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar April ini sebanyak RM500 dan baki RM500 pada bulan Mei.

Ketiga: RM800 kepada tiga juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah. Bayaran RM500 akan dibayar pada April 2020 dan baki RM300 pada bulan Mei 2020.

Keempat: RM500 kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000. Bayaran sebanyak RM250 akan dibuat pada bulan April 2020 dan baki RM250 pada bulan Mei.

MASYARAKAT nelayan turut terjejas pendapatan mereka ekoran wabak Covid-19. Gambar hiasan

Di samping itu, Perdana Menteri berkata, baki pemberian tunai di bawah program Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sedang dilaksanakan akan dibayar pada Julai 2020 melibatkan peruntukan sebanyak RM3.2 bilion.

“Saya juga tidak lupa kepada para pelajar institusi pengajian tinggi. Anda juga akan menerima bantuan secara one-off sebanyak RM200 seorang yang akan dibayar pada bulan Mei 2020.

“Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM270 juta kepada pelajar di pelbagai peringkat pengajian tinggi termasuk matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, IPTA dan IPTS,” kata beliau.

Kataya, begitu juga dengan golongan mudah terjejas seperti warga emas dan kanak-kanak di rumah perlindungan, orang kelainan upaya atau OKU, golongan gelandangan dan orang asal.

“Kerajaan akan bekerjasama dengan NGO dan usahawan sosial berkaitan untuk menyalurkan bantuan makanan, barangan penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan untuk mereka dengan peruntukan sebanyak RM25 juta,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin berkata, kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua peminjam selama enam bulan melibatkan kutipan sebanyak RM750 juta.

“Kini, Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman
untuk tempoh yang sama kepada peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) mulai 1 April hingga 30 September 2020 dengan anggaran kutipan sebanyak
RM149.2 juta. Inisiatif ini memanfaatkan seramai 174,500 orang peminjam,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas