Berita

Muhyiddin umum pakej Prihatin RM250 bilion bantu rakyat

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
- Diterbit 27 Mac 2020 8:50 AM MYT

PUTRAJAYA – Dalam suasana yang pernah mencabar ekoran wabak Covid-19 melanda negara, kerajaan hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion dengan memastikan tiada mana-mana golongan tercicir daripada mendapat manfaat.

Perdana Menteri berkata, melalui pakej itu hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat dan RM100 bilion bagi menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Beliau berkata, sejumlah RM2 bilion disediakan bagi memperkukuh ekonomi negara dengan sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

“Pakej Prihatin ini akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh anda semua.

“Sama ada anda seorang nelayan di Kukup, Johor atau pekebun kecil di Jeli, Kelantan. Anda pengusaha chalet di Cherating atau penarik beca di Melaka, peniaga pasar malam di Kuala Lumpur atau pasar tamu di Kundasang.
“Anda semua akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini,” katanya ketika mengumumkan perkara itu secara langsung di saluran TV di seluruh negara termasuk saluran media sosial.

Perdana Menteri dalam ucapan hampir 45 minit berkata, dengan keutamaan pada waktu ini untuk membendung penularan wabak Covid-19, kerajaan telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagi meningkatkan lagi keupayaan Kementerian, kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk memerangi Covid-19, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan swasta,” ujarnya.

Selain itu, jelas Muhyiddin, pihak industri insurans dan takaful akan mewujudkan dana khas berjumlah RM8 juta untuk menanggung kos ujian penyaringan bernilai sehingga RM300 bagi setiap pemegang polisi dan sijil takaful perubatan yang diarahkan oleh KKM untuk menjalani ujian di hospital swasta atau makmal swasta.

Di samping itu, syarikat insurans dan takaful keluarga akan menawarkan penangguhan pembayaran premium atau sumbangan untuk tiga bulan bagi pencarum yang sumber pendapatan mereka terjejas akibat wabak ini.

Dalam pakej rangsangan ekonomi yang pertama, kerajaan telah bersetuju memberikan elaun khas kepada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak ini.

“Saya sedar dalam situasi getir pada waktu ini, kakitangan kesihatan kita sedang bekerja bertungkus lumus dalam keletihan dan keadaan yang agak tertekan.
“Namun mereka terus cekal berjuang mengharungi cabaran yang hebat ini,” ujarnya.

Justeru bagi menghargai pengorbanan mereka, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan meningkatkan elaun khas yang diterima daripada RM400 kepada RM600 sebulan mulai 1 April 2020 sehingga wabak ini berakhir.

Pada masa sama, kerajaan juga bersetuju memanjangkan elaun khas sebanyak RM200 sebulan kepada anggota tentera, polis, kastam, Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Dianggarkan seramai 169,000 kakitangan tambahan akan mendapat manfaat daripada elaun tersebut bermula April ini hingga wabak Covid-19 berakhir. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas