Berita

Madeni ungguli Pertandingan Mencipta Logo MSWP

NIK AHMAD (tengah) bersama para pemenang Pertandingan Mencipta Logo MSWP
- Diterbit 22 April 2024 12:18 PM MYT

MADENI Minwari diumumkan sebagai pemenang utama Pertandingan Mencipta Logo Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dengan membawa pulang RM3,000 dan cenderahati.

Dengan menggunakan simbol perisai sebagai elemen utama, lakaran tiga gelung ciptaan Madeni, 53, yang mewakili ketiga-tiga Wilayah Persekutuan telah berjaya mencuri tumpuan Jawatankuasa Pemilihan MSWP untuk diangkat sebagai pemenang pertandingan itu.

Pemenang tempat kedua, Mohammad Aminuddin Mohamad Idris membawa pulang RM2,000 beserta cenderahati sementara Fazrulnizam Kamarazaman memenangi RM1,000 berserta cenderahati.

Pengarah MSWP, Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh menyampaikan hadiah kepada para pemenang yang berlangsung dalam majlis penyampaian yang diadakan di WiPers Performance Center, baru-baru ini.

“Ramai individu yang kreatif menghantar penyertaan pada pertandingan kali ini tetapi Jawatankuasa Pemilihan menyenarai pendek 38 penyertaan sahaja yang dirasakan menunjukkan idea yang menarik.

“Kita akan mengubah suai idea daripada para pemenang untuk logo baharu MSWP yang akan dilancarkan tidak lama lagi dan bakal digunakan sepenuhnya pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak pada Ogos ini,” katanya.

Pengarah MSWP itu berkata Pertandingan Mencipta Logo MSWP itu diadakan sebagai satu daripada usaha penjenamaan semula logo MSWP yang sebelum ini telah mula digunakan sejak tahun 2012.

Pertandingan Mencipta Logo MSWP diadakan pada 4 Januari 2024 hingga 21 Januari 2024 dengan menerima sebanyak 105 penyertaan telah diterima daripada orang ramai secara dalam talian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas