Berita

KL20 2024: Teknologi kerjasama DBKL – Hangzhou

SESI pemeteraian yang berlangsung di antara DBKL dan Kerajaan Rakyat Perbandaran Hangzhou baru-baru ini.
- Diterbit 26 April 2024 8:30 AM MYT

SIDANG Kemuncak KL20 2024, menyaksikan satu surat niat (Lol) di antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kerajaan Rakyat Perbandaran Hangzhou dimeterai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata perjanjian tersebut memfokuskan kepada kerjasama Startup City Connect dan bakal membuka peluang kepada usahawan dan pemain teknologi komunikasi.

“Lol ini akan memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua bandar dan akan membantu meningkatkan lagi pelaburan serta memberi peluang yang luas kepada pertukaran teknologi tinggi terutama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan ekosistem syarikat startup di antara Malaysia dan Republik Rakyat China,” katanya baru-baru ini.

Zaliha berkata menerusi kerjasama ini ia akan membuka prospek penting bagi usahawan dan pemain teknologi komunikasi di kedua-dua negara untuk terus berinovasi dan memajukan teknologi.

“Melihat kepada perkembangan pesat industri startup di Republik Rakyat China, perkongsian pengetahuan dan kepakaran bersama terutamanya dalam bidang teknologi dan inovasi akan memberi nilai tambah yang akan menguntungkan Malaysia.

“Lol ini turut akan memberi tumpuan kepada bidang-bidang seperti kerjasama ekonomi dan perdagangan, program bandar pintar, e-dagang, pembangunan ekosistem startup dan rangka kerja pengawalseliaan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Tambah beliau, Sidang Kemuncak KL20 2024 yang dianjurkan selama dua hari ini menghimpunkan syarikat pemula, pelabur dan pemimpin industri untuk memupuk inovasi, kerjasama serta pertumbuhan ekosistem syarikat pemula di Malaysia.

“Ia juga membantu melonjakkan Malaysia sebagai kuasa besar dalam industri elektronik dan elektrikal (E&E) di persada dunia terutamanya melibatkan inovasi, penyelidikan dan pembangunan.

“Selain itu, penganjuran Sidang Kemuncak KL20 2024 ini juga memberi kelebihan kepada Wilayah Persekutuan, khususnya Kuala Lumpur untuk mencapai kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan ibu kota Kuala Lumpur menerusi pembangunan fizikal, sosioekonomi, kawalan perancangan serta perkhidmatan perbandaran secara terancang dan selaras berteraskan tadbir urus yang cemerlang,” ujarnya.

Sementara itu, pelabur-pelabur antarabangsa mengiktiraf bahawa kini adalah masa yang tepat untuk melakukan pelaburan di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara faktor keyakinan itu adalah kerajaan yang stabil dan tadbir urus yang baik; sifat pro-perdagangan dan pendirian neutral oleh rakyat Malaysia memenuhi permintaan rakan dagangan pada masa ini.

“Pengumuman dibuat berikutan pelaburan asing yang diluluskan berjumlah RM188 bilion. Ia jelas mencerminkan pergerakan dalam aktiviti rantaian nilai yang lebih tinggi kerana dunia menunjukkan keyakinan terhadap apa yang tenaga kerja kita mampu lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian sempena Sidang Kemuncak KL20 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Anwar, KL20 dirangka dengan minda bagi mengalu-alukan pelaburan berkualiti dan bernilai tinggi dari segenap pelosok dunia selain menumpukan pada usahawan tempatan bagi merebut peluang ke peringkat global.

“KL20 secara strategiknya selari dengan falsafah ekonomi pentadbiran pusat kerajaan ini di bawah Rangka Kerja Ekonomi Madani.

“Ia didukung oleh prinsip bahawa pertumbuhan dan pengagihan ekonomi bergerak seiring dan pelarasan kerajaan mesti sejajar dengan kuasa pasaran,” kata beliau.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan Khazanah Nasional akan melancarkan National Fund-of Funds dengan peruntukan awal RM1 bilion untuk melabur dalam syarikat Malaysia berpertumbuhan tinggi yang inovatif.

Menurut Anwar, dalam pengumuman Belanjawan Malaysia MADANI 2024 pada Oktober lalu, beliau menggariskan komitmen kerajaan untuk membantu syarikat Malaysia membabitkan usahawan Bumiputera, syarikat baharu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terus meningkat.

“Kerajaan juga menyasarkan untuk memusatkan agensi pelaburan seperti Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) dan Penjana Kapital di bawah Khazanah.

“Dalam hal ini, saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa Khazanah Nasional akan melancarkan National Fund-of Funds dengan peruntukan awal RM1 bilion untuk melabur dalam syarikat Malaysia berpertumbuhan tinggi yang inovatif,” ujarnya.

Tambah Anwar, negara terus menyaksikan aliran keyakinan berterusan daripada pelabur di semua bahagian ekosistem permulaan membabitkan 25 syarikat yang akan memberi peluang kepada Malaysia mencipta usaha niaga teknologi canggih.

“Pelaburan hari ini antara lain membabitkan dana kekayaan negara, Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan Blue Chip Venture Capital yang akan melabur sehingga RM3 bilion dalam ekosistem Asia Tenggara dan Malaysia di bawah Inisiatif Pelaburan ASEAN.

“Sebanyak 12 firma modal teroka antarabangsa akan menubuhkan pejabat dan dana baharu di Kuala Lumpur dengan saiz aset di bawah pengurusan melebihi berbilion-bilion dan rekod prestasi pelaburan yang cemerlang. Ini membolehkan penemuan syarikat pemula Malaysia yang baik dan dipupuk untuk berjaya pada peringkat global,” katanya.

Selain itu, Anwar menjelaskan, syarikat berteknologi tinggi juga akan menubuhkan operasi, kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta ibu pejabat serantau mereka, untuk melayani pasaran Asia dan Asia Tenggara.

Menurut beliau, dalam semikonduktor, pegangan besar Malaysia di bahagian belakang menjadikannya kondusif untuk meneruskan kerja bahagian hadapan bernilai tinggi, terutama dalam kategori reka bentuk Litar Bersepadu (IC). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas