Agama

Hina Institusi Raja-Raja Melayu tindakan malang

- Diterbit 22 April 2024 4:04 PM MYT

INSTITUSI Diraja merupakan lambang perpaduan rakyat jelata dan simbolik kepada penyatuan yang wajar dipertahankan demi kestabilan negara ini.

Pendakwah, Ustaz Ahmad Shukri Yusoff berkata ia mencerminkan sebuah negara Islam yang unik dan meletakkan peranan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Raja-Raja Melayu sebagai tonggak dan berfungsi untuk memperkukuh perpaduan rakyat walaupun terdapat perbezaan dari sudut agama, kaum serta fahaman politik.

“Boleh dikatakan Malaysia merupakan model negara Islam terbaik sekiranya masyarakat majmuk di negara ini saling mencari titik persamaan seperti yang disebut-sebut oleh pelbagai pihak termasuk Sheikhul Azhar, Al-Imam Al-Akbar Sheikh Dr Mohammad Ahmad Tayyib.

“Tindakan menghina Institusi Raja-Raja Melayu adalah satu tindakan malang, tidak beradab dan boleh menggugat kestabilan serta keharmonian hidup yang dikecapi.

“Ia bertentangan dengan ajaran Rasulullah SAW yang membawa mesej harmoni, persaudaraan, keadilan dan menekankan kasih-sayang sesama ummah,” kata beliau.

Menurut Ahmad Shukri, tindakan melakukan penghinaan secara terang-terangan menerusi media sosial merupakan sikap yang tidak bertanggungjawab.

“Kita semua bertanggungjawab memastikan negara ini akan diwariskan kepada anak cucu kerana warganya mesti dikenali kerana kemuliaan akhlak.

“Komen buruk berbaur penghinaan kepada Institusi Diraja tidak menyelesaikan masalah malah akan memberi kesan buruk,” ujarnya.

Mengulas mengenai seorang individu yang enggan mendoakan YDPA seperti yang tular baru-baru ini, Ahmad Shukri berkata Islam telah menganjurkan umatnya untuk mendoakan satu sama lain kerana ia merupakan ajaran Rasulullah.

“Islam tidak hanya mengajar kita supaya berdoa untuk diri sendiri. Dalam banyak keadaan, Islam menganjurkan supaya umatnya saling mendoakan kebaikan antara satu sama lain.

“Sudah tentu antara orang yang perlu didoakan ialah pemerintah atau Raja dan tindakan tidak mahu mendoakan mereka adalah tidak bijak serta tidak matang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak bahawa Raja-Raja Melayu itu bukan sekadar simbol kepada negara bangsanya malah berperanan sebagai pusat pengukuhan kepada seluruh rakyat yang bernaung di bawah lembayung Institusi Diraja,” katanya.

Ahmad Shukri berkata, ulama dan salafusoleh terdahulu memahami perkara ini malah seorang tokoh sufi yang terkenal yang bernama Fudail bin Iyyad ( Meninggal 187 H /803 M) pernah berkata, “Seandainya aku mempunyai satu doa yang mustajab, nescaya aku akan khususkan doa ini buat pemerintah”.

“Seorang  lelaki bertanya kepada Fudail bin Iyyad: Mengapa tuan tidak gunakan doa yang mustajab ini buat dirimu? Fudail menjawab, “Andai aku jadikan doa ini buat diriku sendiri maka kebaikannya hanya buat diriku, sekiranya aku jadikan doa ini buat pemerintah, maka sekiranya pemerintah itu menjadi baik, maka kebaikan itu akan melimpahi seluruh rakyat dan negara,” katanya.

Ujar beliau lagi, sentimen kepartian dan kepentingan kelompok tertentu antara punca kepada perilaku yang menjadi barah dalam masyarakat datang dari pentaasub yang memperlihatkan sikap berprasangka buruk kepada pihak lain sekali gus memperbesar-besarkan kesilapan orang lain.

Menurutnya, semua pihak perlu memelihara negara dan menjaga kestabilannya kerana ia adalah tuntutan maqasid syariah.

“Semua pemimpin di semua peringkat dan kumpulan khususnya parti-parti politik perlu mengingatkan kepada pengikutnya untuk menjaga tingkah laku dan tutur kata kerana kadangkala pengikut berfikir jika pemimpin mereka senyap ertinya tindakan mereka adalah betul walhal tindakan mereka itu salah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas