Berita

Khaira PPZ sumbang RM600,000

KHAIRA PPAZ-MAIWP
AHMAD SHUKRI (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Ahmad Amil pada program CSR Khaira PPZ di Wangsa Maju baru-baru ini.
- Diterbit 10 Januari 2020 3:29 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Khaira PPZ telah menyumbangkan sejumlah RM600,000 kepada golongan memerlukan melalui 36 program yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff berkata, program amal yang bermula pada Mac lepas itu melibatkan sumbangan barangan keperluan harian kepada kumpulan sasar untuk kurangkan kos sara hidup me­reka.

“Khaira PPZ akan turun ke lapangan dengan rakan kongsi korporat strategik lain untuk membantu golongan kurang bernasib baik melalui program tangggungjawab sosial korporat (CSR).

“Selain berfungsi sebagai institusi pengumpulan zakat, kami juga menyumbang dana melalui program CSR seperti ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 200 penerima di Wangsa Maju di sini baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah PPZ-MAIWP, Datuk Sabtu Awam yang juga Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Wangsa Maju Sub Zon 2 dan Pengerusi MPPWP Wangsa Maju Sub Zon 1, Hasim Jaafar dan wakil Pentadbiran dan Sumber Manusia Tesco Malaysia, Nurul Syafida Asma’ Mohd. Sata.

Program Khaira PPZ mendapat kerjasama badan-badan korporat seperti Tesco Stores (M) Sdn. Bhd., Padiberas Nasional Bhd. (Bernas), Jakel Trading Sdn. Bhd. dan McDonald’s Malaysia.

Ahmad Shukri berkata, pelbagai usaha dijalankan pihak PPZ-MAIWP dalam menyebarkan dakwah zakat serta kebaikannya termasuklah program sumbangan Khaira PPZ tersebut.

Sementara itu, seorang penerima orang kelainan upaya (OKU), Ahmad Amil Husin berkata, program seperti ini amat baik kerana ia memasti­kan golongan sepertinya tidak tersisih.

“Pihak PPZ-MAIWP begitu prihatin terhadap nasib OKU dan golongan asnaf khusus­nya di Kuala Lumpur,” katanya.

Kata Ahmad Amil lagi, dia turut berharap agar PPZ MAIWP terus melipatgandakan usaha membantu golongan asnaf dan OKU agar kehidupan mereka terus dapat dibela.

“Melalui program seperti ini, saya berasa gembira kerana sentiasa dibantu namun kami juga perlu berdikari untuk meneruskan kehidupan.

“Saya turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang dan pembayar zakat kerana melalui kutipan zakat, golongan seperti saya dapat terus dibantu,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas