Berita

YWP bantu 30 penuntut IPTA terpilih

SEBAHAGIAN pelajar IPTA yang menerima bantuan Skim Biasiswa Pengajian Tinggi YWP
- Diterbit 22 April 2024 12:16 PM MYT

SERAMAI 30 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terpilih menerima Skim Biasiswa Pengajian Tinggi daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bagi tahun 2024.

Jabatan Komunikasi Strategik dan IT YWP dalam satu kenyataan berkata skim biasiswa dengan nilai terkumpul sebanyak RM182,941 tersebut meliputi yuran pengajian, kos sara hidup, penginapan dan tuisyen.

Menurut kenyataan itu, YWP percaya hanya dengan pendidikan, ia mampu mengubah nasib seseorang dan tajaan ini diyakini akan menjadi motivasi dan perangsang kepada pelajar-pelajar untuk terus berjaya di samping memberi sumbangan besar kepada pembangunan masyarakat dan negara di masa hadapan.

Sementara itu, salah seorang pelajar jurusan Ekonomi Kewangan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Logadurgashini A/P Gopalakrishna, 23, tekad untuk terus memperoleh keputusan cemerlang pada setiap semester.

“Sejak kematian bapa ketika berumur 9 tahun, segala kos pengajian saya termasuk adik-beradik ditanggung oleh emak tetapi itupun tidak cukup memandangkan dia hanya bekerja sebagai pengasuh sahaja.

“Jadi, dengan biasiswa mampu meringankan kos perbelanjaan harian termasuk kelengkapan barang keperluan lain,” katanya selepas sesi penyampaian oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Nurin Aina di Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ismadi Sakirin; Penolong Pengurus Besar Khidmat Pelanggan dan Ejen Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Khalid Mohamed dan Pengarah Tabung Haji Wilayah Persekutuan, Mohd Ezham Leman serta Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj.

Bagi pelajar jurusan Psikologi dan Pembangunan Sumber Manusia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Muaz Irsyad Mohd Farid, 22, inisiatif YWP tersebut memberi peluang kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

“Faktor kewangan merupakan salah satu masalah utama dalam kalangan pelajar terutama mereka yang kurang berkemampuan, jadi dengan adanya skim tersebut dapat membuka laluan pelajar melanjutkan pengajian.

“Alhamdulillah, selangkah demi selangkah, insya-Allah saya akan terus berusaha memperoleh keputusan cemerlang dan menggapai cita-cita untuk menjadi seorang pegawai askar,” katanya.

Mana-mana individu atau syarikat korporat dialu-alukan menyalurkan sumbangan ke Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP (CIMB Bank 8001103675) atas nama Yayasan Wilayah Persekutuan serta catatkan kod Sumbangan Tabung YWP. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas